Pejuang Yang Kini Di Lupakan, Orang Macam Nie Dapat Gelaran Datuk...
Sepatutnya pejuang macam nie la yang patut di beri gelaran datuk atau
tan sri, sepatutnya pejuang macam nie dapat tanah atau apa sahaja benda
yang sesuai dengan jasanya kepada negara kerana menentang komunis...
Memang dia tak minta balasan atas keringat yang dia curahkan untuk negara, tetapi jasa dan pengorbanan dia harus kita kenang, di waktu kita senang lenang di rumah bermain dengan anak cucu, dia mempertaruhkan nyawa dia untuk kita semua...
Ikuti kisah perjuangan salah seorang hero komando 69 (VAT69) Sarjan Mejar (SM) Apot Anak Saad
Sebuah jam tangan dirampas daripada anggota komunis dan beberapa pingat sebagai kenangan untuk simpanan Apot.
SATU ketika dulu, namanya begitu harum hingga menjadi sebutan ramai
terutama oleh pasukan keselamatan. Bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM),
Apot A/K Saad umpama pembawa tuah dalam setiap operasi menjejak dan
memerangi pengganas komunis.
Jika ada pasukan keselamatan yang gagal mengesan, menjejaki atau
menggempur lokasi komunis, tapi Apot pasti boleh. Itulah antara
kata-kata harapan bila menggambarkan siapa Apot ini yang diakui sebagai
penjejak atau treker belantara.
Kebolehan Apot yang dianggap 'pakar' penjejak menyebabkan Orang Asli
dari kaum Semai ini digeruni pengganas komunis. Kebolehannya bukan
sahaja dapat menghidu dan mengesan jejak musuh walaupun sudah berminggu,
malah beliau juga tahu membezakan antara jejak manusia dan haiwan.
Jika ada pengganas komunis cuba mengelirukan jejak dari dikesan pasukan
keselamatan, namun Apot dapat membuka semula jejak tersebut. Hutan
belantara Selangor, Pahang, Kelantan dan Perak yang begitu tegar dengan
aktiviti komunis dan jerangkap samar, menjadi kawasan permainan Apot.
Kebolehan Apot ketika tahun-tahun 1970-an, 1980-an dan 1990-an telah
mengharumkan nama PDRM dan juga unit elit jabatan itu, 69 Komando atau
VAT 69.
Kemahiran menjadi penjejak dimiliki Apot itu turut diserapkan kepada
pasukan tentera dan komando negara asing seperti dari New Zealand dan
Australia.
Karier Apot dalam PDRM bermula sebagai anggota Senoi Praaq sebelum
beralih ke VAT 69 pada 1970. Sebagai anggota Senoi Praaq, beliau
dianggap antara kalangan perintis Orang Asli di negara ini yang berjuang
menentang komunis.
Negara ketika itu memang memerlukan peranan Orang Asli bagi menentang
komunis yang menjalankan peperangan ala gerila. Kerana tekun dengan
tugasannya sebagai penjejak, Apot mempunyai rekod peribadi, berjaya
menembak mati lima pengganas komunis dan terlibat dalam 15 pertempuran.
Ini tidak termasuk tugas-tugasan lain di mana beliau mendahului mengesan
jejak sebelum diserahkan kepada penjejak lain. Namun, semua kebanggaan
itu hanya tinggal kenangan bagi Apot yang kini berusia 62 tahun selepas
bersara dari VAT 69 dengan pangkat Sarjan Mejar.
Mungkinkah hanya rakan-rakan seperjuangan Apot sahaja yang mengetahui
pengorbanan dilakukan oleh beliau selama ini untuk negara? Yang pasti,
kini Apot hanya menghabiskan sisa-sisa hidupnya sebagai penoreh getah di
kawasan kebun. Agak terkejut apabila diberitahu, kebun getah itu pula
bukan milik beliau sebaliknya ia diteroka di tanah rizab Orang Asli.
''Itu bukan tanah saya. Saya terokai sejak lama dulu. Kami Orang Asli
banyak teroka tanah untuk mencari rezeki. Saya menoreh untuk tambah
pendapatan. Kalau tidak, sumber pendapatan saya hanyalah dari pencen
polis ,'' katanya ketika memulakan perbualan dengan Utusan Malaysia.
Sambil merenung jauh, beliau terdiam sejenak apabila penulis mengajukan
pertanyaan lain. Seolah-olah sukar untuk beliau menceritakan perjalanan
hidupnya semasa menjadi penjejak dalam VAT 69 dan juga selepas bersara.
Namun penulis dapat melihat matanya perlahan-lahan berair, menandakan
jauh di sudut hati pasti beliau tertanya-tanya apakah cerita yang hendak
disampaikan mengenai pengorbanannya selama ini kepada negara dihargai.
''Sekarang saya dah jadi penoreh getah, pukul 6.30 atau 7 pagi dah
keluar rumah untuk pergi menoreh. Dalam gelap, saya gunakan lampu suluh.
Kalau dari jauh nampak seperti cahaya lampu sedang bergerak.
"Bila teringatkan masa operasi dulu, saya juga sering melihat penoreh
getah dengan lampu suluh di kepala. Yang nampak hanya cahaya lampu
bergerak dan kita tahu mereka adalah penoreh getah,'' katanya yang
dilahirkan di Kampung Lata Kinjang, Chenderiang, Perak.
Ketika kanak-kanak lagi Apot sudah mengikuti bapanya masuk ke hutan
untuk memburu dan mencari hasil-hasil hutan. Apabila berusia 17 tahun,
beliau pergi memburu bersendirian.
Perjalanan hidupnya sebagai kaum Semai dan sering memburu seorang diri
membolehkan dia mengenali keadaan hutan belantara. Semasa berada di
tingkatan tiga, Apot berhenti sekolah.
Pada tahun 1968, beliau menyertai pasukan Senoi Praaq. Antara pengalaman
menarik dilalui ialah semasa operasi sekitar kawasan Bentong, Pahang
pada tahun 1980-an.
Dalam operasi itu, Apot bersama dua platun anggota dan pegawai
melibatkan 24 orang ditugaskan untuk mengesan jejak musuh. Setelah enam
hari menjejak seluruh kawasan belantara di situ tanpa sebarang kesan,
akhirnya mereka bersiap sedia untuk pulang.
"Ketika berehat makan, saya tinjau seorang diri sekitar kawasan tempat
kami berkumpul. Saya terkejut apabila mendapati kesan tanah dari tapak
kasut. Dari perhatian saya, ia mungkin sudah dua atau tiga hari lalu.
Saya maklumkan kepada pegawai, namun tiada reaksi darinya mengatakan ia
benar-benar kesan tapak komunis.
''Kerana tak puas hati, saya terus tinjau kawasan tersebut dan semasa
melalui sebuah permatang, saya melihat terdapat geseran pada sebatang
pokok kayu. Saya percaya ia kesan dari tali senjata api atau tali beg
yang terkena pokok berkenaan,'' katanya.
Apot kemudian memanggil seorang lagi rakan Orang Asli yang juga menjadi
penjejak dalam pasukan berkenaan. Setelah yakin, Apot memaklumkan sekali
lagi kepada pegawainya dan ini menyebabkan platun berkenaan meneruskan
operasi menjejak.
''Kami kemudian menemui penempatan komunis yang telah ditinggalkan, ini
menguatkan lagi bahawa kawasan di situ terdapat pengganas komunis,''
katanya.
Keesokannya kira-kira pukul 3 pagi, setelah bermalam di sebuah puncak
bukit, pasukan tersebut melihat pergerakan lampu-lampu suluh dipercayai
para penoreh getah. Namun, mereka tidak dapat pastikan sama ada mereka
itu pengganas komunis atau orang awam.
''Kami terpaksa tunggu sehingga hari cerah. Kemudian kami lihat terdapat
kepulan asap dari bukit bersebelahan. Kami kemudian mara ke puncak
berkenaan sehingga 50 meter ke penempatan sasaran dan melihat terdapat
lelaki bersenjata. Kami kemudian rapat lagi sehingga 20 meter sebelum
melakukan serang hendap,'' kata Apot.
Pertempuran lebih 30 minit itu menyebabkan lapan pengganas termasuk tiga
wanita berjaya ditumpaskan. ''Inilah pertempuran hebat yang pernah saya
lalui selain 14 pertempuran lain,'' katanya.
Menjawab pertanyaan, Apot berkata, dia berpegang kepada prinsip jujur
dan ikhlas dalam menjalankan tugas sebagai penjejak. Baginya, peranan
penjejak amat penting kerana bakal menentukan sama ada pasukan
keselamatan dapat melakukan serang hendap atau diserang hendap oleh
musuh.
''Kalau penjejak gagal atau dikelirukan ekoran tipu muslihat komunis,
maka pasukan keselamatan akan diserang hendap. Kita pun tahu, berapa
banyak pasukan keselamatan diserang hendap komunis hingga mengorbankan
banyak nyawa.
''Bagi saya, jujur menjalankan tugas tanpa memikirkan habuan dan ikhlas
dalam setiap pekerjaan. Ini penting dalam memastikan rakan sepasukan
tidak menjadi mangsa serangan hendap.
''Kalau kita temui sesuatu jejak, lalu jejak itu kemudian hilang, maka
hendaklah ia dicari sehingga dapat menemui kesan baru. Yang penting
jangan putus asa,'' katanya.
Pengalaman bertempur di hutan belantara banyak mengajar beliau mengenai
kehidupan dan kesetiaan. Sesuatu yang menarik, sepanjang kariernya,
belum pernah platun disertai Apot menjadi mangsa serangan hendap.
Sebelum bersara, Apot pernah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN)
tapi hanya rakan-rakan rapat sahaja mengunjungi beliau. Sejak itu
terlintas di fikiran beliau, adakah jasanya selama ini hanya sekadar
mencurahkan air di daun keladi.
Bagi Apot, beliau tidak sekali-kali kecewa setelah bersara walaupun tiada anugerah atau gelaran tertinggi diberikan kepadanya.
Cerita-cerita mengenai pengorbanan serta keberanian beliau kini hanya
dikisahkan kepada tujuh orang cucunya yang sering berkunjung ke rumahnya
di Kampar, Perak. Kisah-kisah kebolehan sebagai penjejak itu sedikit
sebanyak dapat mengubat hatinya apabila diceritakan kepada cucu-cucunya
itu.
''Apabila cucu-cucu saya datang, mereka minta saya ceritakan pengalaman
semasa menentang komunis dalam hutan. Masa itulah saya merasa puas hati
kerana masih ada insan yang sudi mendengar kisah-kisah silam saya,''
katanya.
Menjawab pertanyaan penulis, beliau berkata: ''Hanya beberapa pingat sahaja diberikan sebagai mengenang jasanya. Tapi bukan SP (Setia Pahlawan) atau PGB (Pingat Gagah Berani). Tapi saya tidak berkecil hati kerana saya selama ini dapat menjaga keselamatan negara,'' katanya.
Bagi Apot, beliau hanya meminta rakan-rakan dalam pasukan keselamatan
dan juga masyarakat supaya dapat terus memastikan keamanan negara
terpelihara.
''Jangan sia-siakan pengorbanan saya serta rakan-rakan yang telah lama
bersara. Dulu kami terpaksa berlapar dalam hutan, makanan dicatu, tak
cukup tidur dan tinggalkan anak bini berbulan-bulan, nyawa pula di
hujung peluru, semuanya semata-mata nak tengok rakyat jelata dapat hidup
aman.
''Saya tidak minta balasan tanah, pangkat, gelaran atau habuan wang
ringgit...memadai kenangkan pengorbanan ini,'' katanya mengakhiri
perbualan.