Friday, 4 July 2014

PETA DUNIA YANG MENGIKTIRAF BANGSA MELAYU



KISAH ANAK TELUK INTAN

KISAH BUDAK PENJUAL KUIH (Terharu punye kalau bace!)

Selepas seminggu beraya di kampung, saya pulang ke Kuala Lumpur. Memikirkan highway PLUS sibuk, saya menyusuri laluan lama. Pekan pertama yang saya lintas ialah Teluk Intan. Terasa mengantuk, saya singgah sebentar di sebuah restoran di pinggir pekan itu. Sebaik memesan makanan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lebih kurang 12 tahun muncul dihadapan.

"Abang nak beli kuih?" katanya sambil tersenyum. Tangannya segera menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaanya.

“Tak apalah dik... Abang dah pesan makanan," jawap saya ringkas.

Dia berlalu. Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya. Lebih kurang 20 minit kemudian saya nampak kanak-kanak tadi menghampiri pelanggan lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu begitu saja.



"Abang dah makan, tak nak beli kuih saya?" katanya selamba semasa menghampiri meja saya.

"Abang baru lepas makan dik. Masih kenyang lagi ni," kata saya sambil menepuk-nepuk perut.

Dia beredar, tapi cuma setakat di kaki lima. Sampai di situ, di meletakkan bakulnya yang masih sarat. Setiap yang lalu ditanya, "Tak nak beli kuih saya bang, pak cik, kakak atau makcik?"

Molek budi bahasanya! Mamak restoran itu pun tidak menghalang dia keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan kasihan di hati saya melihatkan betapa gigihnya dia berusaha. Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang yang ditemuinya enggan membeli kuihnya.

Selepas membayar harga makanan dan minuman, saya terus beredar ke kereta. Kanak-kanak itu saya lihat berada agak jauh di deretan kedai yang sama. Saya buka pintu, membetulkan duduk dan menutup pintu. Belum sempat saya menghidupkan enjin, kanak-kanak tadi berdiri di tepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Saya turunkan cermin, membalas senyumannya.

"Abang dah kenyang, tapi mungkin abang perlukan kuih saya untuk adik-adik abang, ibu atau ayah abang." katanya petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya.

Saya tenung wajahnya, bersih dan bersahaja. Terpantul perasaan kesian di hati. Lantas saya buka dompet, dan menghulurkan sekeping not merah RM10. Saya hulurkan padanya.

"Ambil ni dik! Abang sedekah. Tak payah abang beli kuih tu," Saya berkata ikhlas kerana perasaan kasihan meningkat mendadak. Kanak-kanak itu menerima wang tersebut, lantas mengucapkan terima kasih terus berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira dapat membantunya. Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur. Alangkah terperanjatnya saya melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula RM10 pemberian saya itu kepada seorang pengemis yang buta kedua-dua matanya.

Saya terkejut, lantas memberhentikan semula kereta, memanggil kanak-kanak itu.

"Kenapa bang nak beli kuih ke?" tanyanya.

"Kenapa adik berikan duit abang tadi pada pengemis tu? Duit tu abang bagi adik!" Kata saya tanpa menjawap pertanyaannya.

"Bang saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dia dapat tahu saya mengemis. Kata mak kita mesti bekerja mencari nafkah kerana Allah berikan tulang empat kerat pada saya. Kalau dia tahu saya bawa duit sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah. Kata mak, mengemis kerja orang yang tak berupaya, saya masih kuat bang!" katanya begitu lancar.

Saya sebak, sekaligus kagum dengan pegangan hidup kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal saya terus bertanya berapa semua harga kuih dalam bakul itu.

"Abang nak beli semua ke?" Dia betanya dan saya cuma mengangguk. Lidah saya kelu nak berkata.

"RM25 saja bang."

Selepas dia memasukkan satu persatu kuihnya kedalam plastik, saya hulurkan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu.

Saya perhatikan dia sehingga hilang daripada pandangan. Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, baru saya terfikir untuk bertanya statusnya. Anak yatimkah? Siapakah wanita berhati mulia yang melahirknya? Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi atas dasar kasihan, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjayanya satu penghormatan.

Sesungguhnya saya kagum dengan sikap kanak-kanak itu. Dia menyedarkan saya, siapa kita sebenarnya!

"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? " ar-rahman

KEISTIMEWAAN SUJUD - MARI KITA BONGKAR

Rahsia Sujud Di Dalam Solat (Ayuh Sebarkan!!!)
Tahukah kita solat 5 KALI sehari iaitu 17 RAKAAT telah berlaku 34 kali SUJUD. Di dalamnya terdapat 1001 hikmah yang terkandung. Antaranya:-
Seorang ahli Sains saraf otak Amerika, Dr. Fidelma O’leary mendakwa bahawa beberapa saraf di otak manusia tidak boleh dialiri oleh darah dari jantung kerana posisi jantung yang berada di dada tidak cukup kuat untuk menampung pembawaannya ke otak manusia. Padahal otak amat memerlukan oksigen dan bekalan darah yang mencukupi supaya dapat berfungsi secara normal. Beliau mengkaji dari tempoh masa yang lama untuk mencari jawapan. Dikaji dengan lebih serius akhirnya dia perolehi jawapan bahawa darah akan mengalir setiap inci ke otak manusia secara sempurna ketika seseorang itu melakukan sujud seperti yang dilakukan oleh orang-orang Islam dalam solat. Bila perkara ini berlaku,maka otak dapat bekalan darah dan oksigen yang mencukupi lalu dapatlah menghindarkan pelbagai jenis penyakit seperti stress, migraine, stroke , menyegarkan otak serta menajamkan akal fikiran sekali gus menguatkan mentaliti kita (terutama ketika sujud waktu solat Subuh). Juga boleh membaiki posisi anak dalam kandungan rahim…dll.
Paling HEBAT lagi maka dia memeluk Islam…hebat tak kuasa SUJUD?
Sebenarnya:-
1. SUJUD PERTAMA tanda TAAT (PERINTAH ALLAH)
2. SUJUD KEDUA tanda SYUKUR (HAMBA KEPADA ALLAH)

Dalam khutbah Ramadhan Nabi s.a.w bersabda:,
Punggung-punggung kalian sudah berat menanggung dosa-dosa kalian. Ringankan lah beban kalian dengan memperbanyakkan sujud.
“Hendaklah kamu bersujud kepada Allah kerana sungguh tiada sekali engkau bersujud melainkan dengannya Allah mengangkat satu darjat dan menghapuskan satu dosa (kesalahan) darimu” ,(HR Muslim)
Firman Allah SWT yang bermaksud:-
” Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar” (Surah Al-Ankabut ayat:45)
Dari Sudut Tasawuf
Sujud adalah waktu di mana seorang hamba itu paling hampir dengan Penciptanya. Pergerakan sujud itu secara lahirnya telah menunjukkan “rasa menghina dirinya” seseorang hamba itu di depan Tuhannya di dalam keadaan menyerah diri, pasrah, berikrar dan mengaku bahawa“Ya Allah hanya Engkaulah Tuhan yang layak disembah, ditakuti, dicintai dan hanya pada-Mu sahajalah tempat berserah dan memohon pertolongan”.
Seorang sahabat Nabi SAW iaitu Huzaifah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:-“Tiadalah keadaan seorang hamba yang paling disukai oleh Allah daripada Dia melihat hamba-Nya itu di dalam keadaan bersujud, dengan meletakkan mukanya di tanah
( sebagai tamsilan tunduk, pasrah dan rasa hina seorang hamba kepada Allah)”. (Hadis Riwayat Imam Tabrani).
Firman Allah SWT yang bermaksud:- ” Sesungguhnya orang-orang yang beriman dengan ayat Kami ialah orang yang apabila diperingatkan dengan ayat-ayat Kami mereka menyungkur sujud dan bertasbih serta memuji Tuhan dan mereka tidak menyombongkan diri” (Surah As-Sajadah ayat 15).
Sujud bererti seseorang itu telah meletakkan wajahnya ditempat yang paling rendah di atas tanah ini bermakna ia telah meletakkan seluruh dirinya di atas tanah, mengingatkan dirinya terhadap punca asal kejadian manusia itu dari tanah dan mengembalikan dirinya kepada tanah. Apabila ia telah sanggup menghantar dahinya dan juga dirinya ke tempat yang hina maka tidak mungkin ia akan bersikap sombong lagi terhadap Allah yang menciptakan dirinya dari tanah itu.
Maka setiap kali sujud sewajarnya seseorang itu sentiasa ia mengingati akan mati, apabila ia ingat akan mati maka terasa seolah-olah bahawa solatnya itu sebagai solat penghabisan kerana ia akan menghantarkan dirinya ke tanah. Ia merasakan bahawa setiap kali ia sujud seolah-olah ia tidak akan bangun lagi. Sedangkan kematian itu merupakan pintu bagi seseorang memasuki gerbang akhirat.
Dalam keadaan demikian maka hati akan merasa gerun dan merasai kebesaran Allah dan ketika itulah ia membaharui lagi di dalam hatinya untuk mensucikan Zat Allah Yang Maha Tinggi disamping lidah tidak bertulang mengucapkan, “Subhana Rabbial- A’la wa-Bihamdih”.
P/S: Islam itu kan indah.. solat itu sempurnakan dan berikan kebaikan kepada Hambanya zahir dan batin. Bila kita sempurnakan hak Allah (solat) , Dia akan menyempurnakan hak kita sebagai hamba (hikmah dan kebaikan ) Konsep GIVE AND TAKE…

Wednesday, 2 July 2014

APA KATA FELIXIA YAP DIPAGI HARI PENGISLAMANNYA

3 Julai : Hari Kelahiran Semula Ku - Felixia Yeap

Assalammualaikum.

Sejak beberapa bulan ini, dari saat saya bertekad sebulat hati mengenakan hijab walaupun sebagai seorang yang belum Islam hatinya, hingga ke saat ini (3 Julai, sekarang pukul 6 pagi baru lepas Sahur), di mana saya telah Islam di hati, cuma tinggal perasmian sebagai seorang Islam di atas kertas dan di depan 4 orang saksi...saya telah mengharungi pelbagai dugaan.

Bantahan.

Makian.

Sindiran.

Fitnah.

Penyisihan.

Tekanan.

Tetapi syukur Alhamdullilah...saya juga dapat sokongan yang begitu hebat, yang menyentuh hati dan sokongan positif inilah yang serba sedikit menyumbang kepada saya untuk terus beristiqamah.

Dan saya harus berterima kasih juga dengan kedegilan saya. 
Terkenal juga dengan kepala batu saya, saya tidak mudah mengalah. 

Ya...saya mengaku, banyak kali saya rasa tumpas, tewas dan menangis atas semua yang negatif dan kasar terhadap saya. 

Namun, saya tetap tidak tanggalkan hijab saya.

Saya tetap teruskan perjalanan. 

Saya bertuah kerana dikurniakan seorang ibu yang bukan sahaja tabah untuk membesarkan saya dan adik dalam keluarga, tetapi rahmat yang terbesar adalah apabila beliau, seorang yang bukan Islam, langsung tidak mengetahui tentang agama Islam (kecuali yang Islam tak boleh makan khinzir) dan seringkali disindir saudara mara yang lain kerana anak perempuannya bertudung sehingga ke muka depan suratkhabar dan sebagainya...tidak membantah, malah merestui keputusan saya ini apabila saya memberitahu beliau yang saya sedang mempelajari tentang agama Islam dan bercadang untuk memeluknya.
Ibu kata saya sudah banyak berubah lebih baik.
Ibu kata saya dah matang, dah dewasa akhirnya.
Dalam dialek Kantonis, bila saya bermanja dan menanya kenapa beliau merestui keputusan saya, beliau menjawab, "Sang seng jor lor, dai gor nui la...kwai jor hou dor."
Ibu saya senyum, dan saya menahan air mata.

Rata-rata, ramai mualaf yang dibuang keluarga dan disisihkan keluarga kerana keputusan yang sama, dan ada segolongan pula yang terpaksa menyembunyikan identiti mereka sebagai seorang Islam daripada keluarga dan orang ramai kerana takut dibuang keluarga dan disisihkan. 

Saya mengaku, jika ayah saya tidak meninggalkan kami sekeluarga, mungkin perkara yang sama akan berlaku pada diri saya. Tetapi Allah Maha Mengetahui. 

Mungkin ini juga salah satu hikmah dari penceraian ibu dan ayah.
(Ibu saya jauhhhh lebih bahagia sekarang juga, ALHAMDULLILAH!)

Ia memaksa saya untuk berdikari pada usia muda, menjaga adik sehingga saya habis SPM dan terus meninggalkan Ipoh untuk mencuba nasib seorang diri di Kuala Lumpur dengan hanya RM300 sebulan sementara saya belajar di sebuah IPTS. Apabila sudah dihentikan saluran duit satu hari, saya keluar bekerja kerana saya tidak ingin melihat ibu saya terus bersusah payah menggunakan duit simpanan beliau yang tidak seberapa untuk menyara kami adik-beradik. Tambahan pula, adik saya perlu (dan saya pastikan) menyambung pelajaran dan perlu wang untuk membiayai yurannya. 

Saya mula memikul tanggungjawab menyara keluarga.

Pada masa itu, saya tidak ada agama (saya dibesarkan di keluarga yang tidak percaya kepada mana-mana agama atau Tuhan), tidak ada apa-apa bimbingan agama...cuma berbekalkan nasihat dari ibu saya; iaitu jangan menyusahkan orang lain, jangan membiarkan mana-mana lelaki mengambil kesempatan, jangan berbuat jahat, jangan tertipu dengan orang di bandar dan jaga diri baik-baik.

Namun sebagai seorang naif yang tidak tahu apa-apa tentang dunia, tipu helah dan godaan manusia (Ya, keputusan SPM yang baik tidak menjamin anda akan selamat dengan tipu helah dunia)...saya juga mula terikut-ikut dengan orang di sekeliling saya. TETAPI, saya cuba sedaya upaya yang boleh untuk melindungi diri saya dan pada masa yang sama mencari nafkah untuk dihantar balik ke rumah untuk ibu dan adik. Saya kekalkan pendirian untuk tidak sentuh arak, rokok, atau dadah. 
Pernah banyak kali dipaksa, tetapi kedegilan saya untuk menurut paksaan dan suruhan orang lain menyelamatkan saya dari terjerumus sekali dengan yang lain.

Dengan mata saya sendiri saya sepanjang hampir 10 tahun saya terlibat dalam bidang modeling, saya pernah lihat pelbagai jenis manusia dan cara kehidupan yang dikatakan "mewah" dan bahagia.
Mewah juga disamakan dengan kebahagiaan. 
Orang di sekeliling saya pada masa itu kebanyakkannya mengukur kebahagiaan dengan kekayaan teman lelaki, apa parti yang paling "happening" yang mereka dapat pergi, rasa "happy" janji dapat minum dan mabuk, berapa yang boleh dikikis dari lelaki kaya yang memikat, dan kebanyakkan mendahagakan kemewahan dan dicari tanpa mempedulikan harga diri.

Tetapi bagi saya, itu bukan kemewahan yang saya cari. Sebab apa gunanya punyai kemewahan tetapi hidup rasa kosong, tidak bermakna dan bergelumangan dengan dosa?
Itu bukan kebahagiaan yang saya carikan.

Saya pernah cuba mencari Tuhan.
Cuba mendekati diri dengan Tuhan.
Saya pernah pergi ke gereja Katolik setiap Ahad petang selama 2 tahun.
Saya pernah cuba memahami agama Kristian.
Saya pernah cuba mencari makna dalam penyembahan berhala Dewa Kuan Yin dan sebagainya.
Saya juga pernah cuba mengamalkan amalan seorang penganut Buddha.

Tetapi hati saya tidak pernah merasa dekat dengan Tuhan.
Hati saya tidak pernah rasa tersentuh.

***Harap jangan salah faham, di sini saya cuma ingin menekankan bahawa saya rasa lebih dekat dengan agama Islam, dengan Allah SWT. Saya hanya menjelaskan apa yang saya rasa dari hati.

Sejak saya mula mengenali ajaran-ajaran agama Islam, saya lebih redha, lebih tenang dan lebih senang bersyukur dengan hidup yang serba sederhana.
Duit dan kemewahan tidak lagi menarik perhatian saya sepertimana dahulu. 
Saya tidak lagi rasa "impressed" atau teruja dengan kereta sport, bag mahal, kehidupan glamor, atau cita-cita tinggal di rumah besar dan mewah.

Ya, tidak dapat dinafikan, jika ada semua ini, bukan benda yang buruk, malah bonus kehidupan...tetapi wang dan kemewahan tidak dapat membeli rasa bertaubat, rasa ingin menjadi seorang yang lebih baik, ketenangan, keredhaan dan kebahagiaan.

Sepanjang hampir 7 bulan saya berhijab dan mengenali agama Islam, saya banyak menangis. 
Bukan dalam kesedihan, tetapi dalam rasa penyesalan kehidupan yang dulu dan rasa ingin bertaubat.

Seringkali saya merintih dalam bisikkan yang saya ulang tanpa henti, "Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa saya!"

Pada kali pertama saya melihat video pengislaman dan pengucapan seorang wanita, saya tidak dapat henti menangis.
Pada saya, dia amat bertuah kerana Allah SWT memilih dia untuk diselamatkan.

Masa itu...saya masih tidak tahu apa itu hidayah dan taufiq.

Dan pada hari ini, iaitu hari bersejarah dalam hidup saya...saya akan menjadi seorang Islam secara rasmi. 

3 Julai 2014, bersamaan dengan 5 Ramadhan 1435.

Saya yang telah Islam di hati (tanpa disedari), kini akan mengucapkan 2 kalimah syahadah saya di depan keluarga terdekat saya, dan juga para kenalan yang telah seringkali menyokong dan memberi galakkan pada saya supaya terus istiqamah.

Tidak ada sebarang media yang akan hadir.

Hari ini bukan hanya saja Hari Lahir saya...tetapi juga Hari Kelahiran Semula saya. 
Hari saya kembali akhirnya selepas 28 tahun mencari jalan pulang.



P.S: Saya masih berbangsa Cina, dan akan berkeras mengekalkan nama Cina yang diberi ibu saya. Nama Cina saya dalam bermaksud "Ketenangan, Keanggunan" atau di dalam bahasa Inggeris, "Silent Grace". 
Saya cuma akan menambah nama kurniaan dari mimpi saya di hadapan nama asal.

Terima kasih semua atas sokongan anda. =

GAMBAR TEROWONG RUNTUH DI BUKIT BINTANG.

[Gambar] GEMPAR : Terowong Dalam Pembinaan Runtuh Di Bukit Bintang 

Sebuah terowong yang masih lagi dalam pembinaan menghubungkan Jalan Pudu dan Jalan Imbi bersebelahan bekas Penjara Pudu runtuh pagi ini.
Kejadian dikatakan berlaku sekitar jam 11 pagi dan diberitakan tiada kemalangan jiwa berlaku.
RapidKL dalam laman Twitternya memberitahu operasi Monorel antara Stesen Hang Tuah & Stesen Imbi digantung sementara waktu bagi menjamin keselamatan awam. Pengguna hanya boleh menggunakan khidmat Monorel antara Stesen KL Sentral - Hang Tuah & Stesen Titiwangsa - Imbi sahaja.
Pihak RapidKL juga turut menambah bahawa laluan bas di kawasan berkenaan telah terjejas dan laluan terpaksa dilencongkan.
Berikut bas² yang terlibat.
Untuk makluman bersama, laluan Monorel & Bas RapidKL di atas terowong yang runtuh tersebut. Berdasarkan pemerhatian saya, berkemungkinan lebih 100,000 orang pengguna perkhidmatan awam akan terjejas sehingga lewat petang ini.
Sama² kita berharap agar laluan ratusan ribu pengguna di Kuala Lumpur ini akan kembali pulih seperti biasa dengan segera.
Sila ikuti perkembangan semasa operasi Monorel di laman twitter rasmi mereka @MyRapidKL

Monday, 30 June 2014

PASAR BISIK DI KEDAH

Di pekan kecil nelayan di Kuala Muda, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, terdapat satu aktiviti yang mungkin akan dilihat sebagai pelik dan mungkin tidak lagi diamalkan di kebanyakan tempat atau jeti nelayan di negara kita.
Penulis juga pada mulanya berasa pelik tetapi setelah menyaksikannya sendiri, memang benar, ia adalah satu amalan yang pelik tetapi masih tetap diteruskan "suka sama suka" di antara nelayan dan pembeli ikan.
“Bisik Ikan” - itulah aktiviti yang masih diguna pakai di antara nelayan dan para pembeli ikan di sini untuk membeli dan menjual ikan.


Tidak ada harga tetap yang menentukan harga ikan dan hasil laut yang dibawa naik ke darat untuk dijual di sini.
Hasil laut juga tidak diasing-asing melainkan ia datang dalam keadaan yang sangat banyak. Jika tidak ikan, ketam, udang dan apa sahaja dilonggokkan sekali dan selepas itu nelayan akan mula memanggil pembeli untuk 'membisik' di telinganya secara sulit berapakah harga bidaan yang ditawarkan.
Dari situ bermulalah aktiviti membisik sehingga pembida tertinggi berjaya membuat taruhannya dan penjual bersetuju dengan harga bidaan tersebut.
Jadi siapa buat bidaan tertinggi (secara sulit dan hanya diketahui oleh nelayan berkenaan) dialah yang dapat.
Penulis terpanggil untuk melihat sendiri aktiviti ini pada suatu pagi Ahad, yang sering menjadi bualan ramai terutama pada hujung minggu.
Deretan kereta sudah menuju masuk ke perkampungan nelayan menjelang jam 8.30 pagi seolah-olah ada majlis kenduri atau keramaian sedang berlangsung.
Jalan kecil menuju ke jeti pendaratan hasil nelayan Kuala Muda itu adalah jalan mati tetapi jumlah kereta yang menuju masuk tidak mencerminkan ia adalah jalan mati.
Sebaik sahaja penulis sampai di tempat yang dituju, dari jauh lagi, suasana riuh rendah serta kesibukan orang ramai mundar mandir di jeti pendaratan tersebut sudah kelihatan dan sibuk sekali.

Hasil tangkapan yang masih segar akan dijual terus secara bidaan berbisik.

Hasil daratan ikan dari pelbagai jenis dan spesies serta udang besar, sedang dan kecil, ketam dan sotong yang masih hidup diletakkan di atas karung guni di celah-celah orang ramai dan dari situ bermulalah aktiviti membisik.
Dalam loghat tempatan, nelayan yang menghamparkan hasil tangkapan mereka bermula dengan berkata; "Mai (mari) lekas, mai lekas, haaa, bisik mai kat saya..."
Dengan segera seorang pembeli yang kelihatan seperti peraih ikan merenung sedetik ke arah longgokan hasil tangkapan laut tersebut lalu bergerak menuju ke arah nelayan tersebut lalu merapatkan kedua-dua belah tapak tangannya ke telinga nelayan itu dan membisikkan sesuatu.
Yang lain melihat dengan penuh suspen aktiviti pertama itu. Kini giliran mereka pula membuat bidaan.

Longgokan ikan yang menanti bidaan berbisik daripada pelanggan.

Penulis difahamkan yang pembida yang lain harus pandai mengagak berapakah nilai bidaan yang dibuat oleh pembida pertama dengan memerhatikan gerak mulutnya.
Jika dia seorang yang sudah biasa dengan aktiviti bidaan membisik ini, dia sudah boleh mengagakkan berapakah nilai bidaan untuk selonggok ikan dan lain-lain hasil tangkapan laut yang diletakkan oleh nelayan tersebut.
Bagi seorang pembeli yang pandai, dia akan terlebih dahulu duduk memerhatikan aktiviti bidaan ini dibuat oleh orang lain dan selepas itu dia boleh secara diam-diam pergi kepada pembida yang berjaya dan bertanya berapakah bidaan yang dibuatnya itu.
Dari situ, dia sudah boleh membuat kiraan, berapakah harga yang wajar dibidanya nanti ke atas longgokan yang hampir sama yang diletakkan oleh nelayan seterusnya.

Ikan segar yang dibida oleh pengunjung.

Aktiviti ini boleh disertai oleh sesiapa sahaja termasuklah orang baru seperti penulis sendiri.
Jika seseorang pembeli itu tidak biasa dan terus melakukan bidaan, hanya ada dua kemungkinan sahaja yang akan berlaku. Pertama dia akan meletakkan bidaan yang terlalu rendah dan kedua, dia akan meletakkan bidaan yang terlalu tinggi.
Mungkin percubaan yang pertama, kedua dan ketiga dia tidak akan berjaya tetapi dari situ kita akan belajar di manakah silapnya dengan bidaan kita dan boleh memperbaiki teknik bidaan dengan bertanyakan berapakah bidaan yang dibuat daripada orang yang berjaya.
Tetapi bagaimanakah caranya untuk kita ketahui yang bidaan kita itu terlalu rendah?
Mudah sahaja. Sebaik sahaja kita membisikkan harga bidaan kita di telinga nelayan yang mempertaruhkan hasil tangkapan dia itu, jika dia buat tidak endah dengan bidaan kita, maka dia menganggap yang bidaan kita itu sama ada terlalu rendah atau 'tidak masuk akal'.


Tetapi pada masa yang sama selepas kita membuat bidaan dan selepas orang lain juga membuat bidaan dan nelayan itu kembali kepada kita dan berkata, "sikit lagi...sikit lagi" itu bermakna dia tertarik dengan harga bidaan kita dan mahukan kita membuat taruhan baru dengan sedikit tambahan.
Dalam situasi ini, kembali berbisik ke telinga dia (jangan menjerit depan semua orang pula) dengan membuat tambahan sebanyak RM5 atau RM10 lagi, nescaya dia akan menerima bidaan anda.

Tangkapan dibawa oleh nelayan untuk bidaan pelanggan.

Penulis sendiri tidak melepaskan peluang dengan turut mengambil bahagian dalam aktiviti berbisik ini, apabila melihat salah seorang nelayan membawa lebih kurang dua puluh ekor ikan senangin untuk dijual.
Lucu pun ada, rasa gemuruh pun ada. Antara yakin dan tidak, perlahan-lahan penulis membisikkan ke telinga nelayan itu dengan harga RM28 bagi dua puluh ekor ikan senangin itu sebaik sahaja dia melonggokkannya di hadapan penulis.

Inilah ikan senangin yang dibida penulis di jeti pendaratan Ikan Kota Kuala Muda baru-baru ini.

Nelayan yang menjual melihat wajah penulis dan berkata, “tambah sikit lagi...sikit lagi bagi cukup” dan penulis seakan-akan menerima mesej dia dengan jelas untuk menaikkan bidaan kepada RM30.
Tahap kesegaran ikan memang tidak boleh dinafikan lagi apabila ia jelas dibawa oleh nelayan yang baru pulang dari laut. 
Antara percaya dengan tidak, nelayan itu terus mengangguk kepalanya tanda setuju.
Dan dengan RM30 bagi dua puluh ekor ikan senangin yang masih segar dan belum pun dimasukkan ke dalam ais, penulis merasakan bidaan penulis sudah cukup berbaloi.
Salah seorang nelayan yang mahir dengan jualan bisik membisik ini, Mohd Asri Ismail, 43, (gambar bawah) memberitahu penulis bahawa amalan membisik ini sudah berpuluh tahun dilakukan di sini dan menurutnya lagi nelayan tidak mahu mengubah cara hidup ini dengan sistem harga tetap kerana ini memberi kebebasan kepada mereka untuk menyerahkan harga bidaan kepada pembeli - tidak kira peraih, pemborong atau individu.


“Siapa saja boleh dapatkan ikan segar atau hasil tangkapan laut di sini tapi kena bisik harga la,” katanya dalam loghat utara.
Penulis juga sempat bertanya salah seorang pengunjung tetap bernama Jasilan (gambar bawah) dari Butterworth yang datang ke sini pada setiap hujung minggu untuk mendapatkan ikan segar.

“Saya selalu datang ke sini pada hujung minggu bersama keluarga untuk membeli ikan, sotong, ketam dan udang segar kerana harganya kita yang tawarkan,” kata Jasilan.
Sesungguhnya pengalaman berbisik dan membida ikan dengan cara pelik ini tidak mungkin akan dapat dilupakan oleh sesiapa sahaja yang berkunjung ke sini buat pertama kali.
Silalah datang dan merasai sendiri pengalaman unik ini. 

Sumber: Mstar

KAUM YANG DIBINASA ALLAH

12 Kaum Yang Dibinasakan Allah #MuhasabahDiri

 
1. Kaum Nabi Nuh

Nabi Nuh berdakwah selama 950 tahun, namun yang beriman hanyalah sekitar 80 orang. Kaumnya mendustakan dan memperolok-olok Nabi Nuh. Lalu, Allah mendatangkan banjir yang besar, kemudian menenggelamkan mereka yang engkar, termasuk anak dan istri Nabi Nuh (Surah Al-Ankabut : 14).

2. Kaum Nabi Hud

Nabi Hud diutus untuk kaum ‘Ad. Mereka mendustakan kenabian Nabi Hud. Allah lalu mendatangkan angin yang dahsyat disertai dengan bunyi guruh yang menggelegar hingga mereka tertimbun pasir dan akhirnya binasa (Surah Attaubah: 70, Alqamar: 18, Fushshilat: 13, Annajm: 50, Qaaf: 13).

3. Kaum Nabi Salleh

Nabi Salleh diutuskan Allah kepada kaum Tsamud. Nabi Salleh diberi sebuah mukjizat seekor unta betina yang keluar dari celah batu. Namun, mereka membunuh unta betina tersebut sehingga Allah menimpakan azab kepada mereka (Surah ALhijr: 80, Huud: 68, Qaaf: 12).

4. Kaum Nabi Luth

Umat Nabi Luth terkenal dengan perbuatan menyonsang, iaitu berminat dengan pasangan sesama jenis (homoseksual dan lesbian). Banyak kali diberi peringatan, mereka tidak mahu bertaubat. Allah akhirnya memberikan azab kepada mereka berupa gempa bumi yang dahsyat disertai angin kencang dan hujan batu sehingga hancurlah rumah-rumah mereka. Dan, kaum Nabi Luth ini akhirnya tertimbun di bawah runtuhan rumah mereka sendiri (Surah Alsyu’araa: 160, Annaml: 54, Alhijr: 67, Alfurqan: 38, Qaf: 12).

5. Kaum Nabi Syuaib

Nabi Syuaib diutuskan kepada kaum Madyan. Kaum Madyan ini dihancurkan oleh Allah kerana mereka suka melakukan penipuan dan kecurangan dalam perniagaan. Bila membeli, mereka minta dilebihkan dan bila menjual selalu mengurangi. Allah pun mengazab mereka berupa hawa panas yang teramat sangat. Banyak kali mereka berlindung di tempat yang teduh, perkara itu tidak mampu melepaskan rasa panas. Akhirnya, mereka binasa (Surah Attaubah: 70, Alhijr: 78, Thaaha: 40, dan Alhajj: 44).

Selain kepada kaum Madyan, Nabi Syuaib juga diutus kepada penduduk Aikah. Mereka menyembah sebidang padang tanah yang pohonnya sangat rimbun. Kaum ini menurut sebagian ahli tafsir disebut pula dengan penyembah hutan lebat (Aikah) (Surah AlHijr: 78, Alsyu’araa: 176, Shaad: 13, Qaaf: 14).

6. Firaun
Kaum Bani Israil sering ditindas oleh Firaun. Allah mengutus Nabi Musa dan Harun untuk memperingatkan Firaun akan azab Allah. Namun, Firaun mengaku sebagai tuhan. Dia akhirnya maut di Laut Merah dan jasadnya berjaya diselamatkan. Hingga kini masih boleh disaksikan di museum mumi di Mesir (Albaqarah: 50 dan Yunus: 92).

7. Ashab Al-Sabt

Mereka adalah segolongan fasik yang tinggal di Kota Eliah, Elat (Palestin). Mereka melanggar perintah Allah untuk beribadah pada hari Sabtu. Allah menguji mereka dengan memberikan ikan yang banyak pada hari Sabtu dan tidak ada ikan pada hari lainnya. Mereka meminta rasul Allah untuk mengalihkan ibadah pada hari lain, selain Sabtu. Mereka akhirnya dibinasakan dengan dilaknat Allah menjadi kera yang hina (Surah Al-A’raaf: 163).

8. Ashab Al-Rass

Rass adalah nama sebuah telaga yang kering airnya. Nama Al-Rass ditujukan pada suatu kaum. Konon, nabi yang diutus kepada mereka adalah Nabi Salleh. Namun, ada pula yang menyebutkan Nabi Syuaib.

Sementara itu, yang lainnya menyebutkan, utusan itu bernama Handzalah bin Shinwan (adapula yang menyebut bin Shofwan). Mereka menyembah patung. Ada pula yang menyebutkan, pelanggaran yang mereka lakukan kerana mencampakkan utusan yang dikirim kepada mereka ke dalam perigi sehingga mereka dibinasakan Allah (Surah Alfurqan: 38 dan Qaf ayat 12).

9. Ashab Al-Ukhdudd

Ashab Al-Ukhdud adalah sebuah kaum yang menggali parit dan menolak beriman kepada Allah, termasuk rajanya. Sementara itu, sekelompok orang yang beriman diceburkan ke dalam parit yang telah dibakar, termasuk seorang wanita yang sedang menggendong seorang bayi. Mereka dikutuk oleh Allah SWT (Surah Alburuuj: 4-9).

10. Ashab Al-Qaryah

Menurut sebagian ahli tafsir, Ashab Al-Qaryah (suatu negeri) adalah penduduk Anthakiyah. Mereka mendustakan rasul-rasul yang diutus kepada mereka. Allah membinasakan mereka dengan sebuah suara yang sangat keras (Surah Yaasiin: 13).

11. Kaum Tubba’

Tubaa’ adalah nama seorang raja bangsa Himyar yang beriman. Namun, kaumnya sangat engkar kepada Allah hingga melampaui batas. Maka, Allah menimpakan azab kepada mereka hingga binasa. Peradaban mereka sangat maju. Salah satunya adalah empangan air (Surah Addukhan: 37).

12. Kaum Saba

Mereka diberi berbagai kenikmatan berupa kebun-kebun yang ditumbuhi pohonan untuk kemakmuran rakyat Saba. Kerana mereka enggan beribadah kepada Allah walau sudah diperingatkan oleh Nabi Sulaiman, akhirnya Allah menghancurkan empangan Ma’rib dengan banjir besar (Al-Arim) (Surah Saba: 15-19).