BILA MAK TIADA
Cerita ni memang jadi salah satu dari cerita yang teman suka.Cerita yang boleh menjadi pengajaran kepada kita.Cerita ni dah lama tapi memang tak lapuk.Sama samalah kita hayati cerita ini semoga kita mengambil iktibar darinya.
Jam 6.30 petang.
Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama.
Ayah baru balik dari sawah.
Ayah tanya Mak, “Along mana?’
Mak jawab, “Ada di dapur tolong siapkan makan.”
Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”
Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”
Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”
Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”
Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”
Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”
Mak
jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang
sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak
dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.
Dua puluh tahun kemudian
Jam 6.30 petang
Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.
Ayah tanya Along, “Mana Mak?”
Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”
Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”
Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”
Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”
Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.
Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?"
Ateh menjawab, “Entah.”
Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.
Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”
Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.
Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik
yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat
jawapan yang ayah mahu.
Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak
ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak
tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.
Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"
Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”
Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.
Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap
Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila
Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.
Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila
dapat nomor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah
apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua
anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.
Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?"
Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak .
Ayah berdiri di depan pintu menunggu
Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum
balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit
lutut.
Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan
memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari
kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan
plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk
anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.
Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak
Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak
usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti
mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak
diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak
tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak
Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis
tangan Mak kalau Mak lakukannya.
Lima buah kereta milik anak-anak Mak
berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan
kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna
kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.
Baju
mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam
Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah
pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.
Mak letakkan bungkusan di atas meja.
Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk
anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak
malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup
membuat Mak Uda faham.
Semasa menerima bungkusan kueh koci dari
Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah
budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni."
Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak.
Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci
sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi
hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak
supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala
Mak.
Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.
Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak
ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun
yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada
Mak lagi.
Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.
Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.
Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap
nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan
bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama
Mak di meja makan setiap malam.
Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh.
Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari
rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin
kesukaan anak-anak Mak.
Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak
jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata
semua tak berangkat."
Mak minta Mak Uda telepon anak-anak yang
Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau
sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan
menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang
menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput
Mak.
Mak tahu anak-anak mak tidak sedar
telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah, “Kita tak usah susahkan
anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka
ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah
anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka
sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa
anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.”
Mak faham buah hati Mak semua sudah
besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik
masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat
Mak di hati anak-anak Mak.
Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.
Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.
Beberapa tahun kemudian
Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.
Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”
Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.
Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.
Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh,
Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang
berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak
ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya
apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.
Mak
pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di
bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak
dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit
tenat.
Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.
Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..
Mak tidak sempat merasa diangkat di atas
bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak
dalam hujan renyai.
Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang
akan menjawab soalan Ayah, "Mana Along?", "Mana Angah?", "Mana Ateh?",
"Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya Mak saja yang
rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah
silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana
anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak
sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang
mengisinya.
Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog
sendiri, "Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah,
Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?" "
Kereta merah Ateh bergerak perlahan
membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari
belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah
Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu,
"Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita
jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."
"Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..
Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"
Ayah tidak mampu berhenti menanya
soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?" masih
sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.
Sebuah cerita pendek buat tatapan
anak-anak yang kadang-kadang lupa persaan ibu. Kata orang hidup seorang
ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. Kata
Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah. Bayangkanlah berapa
kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya.
Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa
kerapkah kita membiarkan deringan telepon panggilan dari ibu tanpa
berjawab?
Jika ada anak anakku yang membaca cerita ini,ayah berdoa dan mengharapkan semoga anak anak ayah tidak tergolong dalam anak anak dalam cerita ini.Berapa lama sangat usia ibu dan ayah yang akan dijaga oleh anak anak ayah.Usia kami dah semakin tua dan semakin hampir dengan pintu kubur.Bila kami sudah masuk alam kubur maka tiada lagilah kami menyusahkan anak anak.Kami sebagai ibu bapa sentiasa menyayangi anak anak.Tapi sejauh mana anak anak menyayangi kami bila kami dah tua,tidaklah kami tahu.Semoga diusia emas kami nanti masih lagi kami disayangi oleh anak anak kami.Tiada yang membahagiakan kami selain anak anak menyayangi kami.