Catatan sejarah di bawah Demang terima melalui media sosial
semalam. Rasanya ini versi terbaik yang Demang pernah jumpa berkenaan
Dawn Raid atau 'Serangan Selepas Subuh'. Satu lagi nama yang Demang
dapati tiada dalam rencana ini ialah Tun Ghafar Baba selain Tengku
Razaleigh yang diakui penulis tidak dimasukkan kerana kekurangan
maklumat.
Sejarah “Dawn Raid” — Serang Hendap Kuala Lumpur Ke Atas Kota London pada 1981
Pada 7 haribulan September tahun 1981, kota London
digemparkan dengan pengambilalihan mengejut syarikat perladangan Guthrie
di London. Guthrie yang berusia lebih 100 tahun dan merupakan antara
syarikat perladangan terbesar British jatuh ke tangan pihak asing di
dalam masa 4 jam sahaja.
Apa yang lebih mengejutkan ialah syarikat tersebut jatuh ke
tangan kerajaan Malaysia, di bawah pimpinan Dr. Mahathir Muhammad yang
baru memegang jawatan Perdana Menteri selama 2 bulan.
Latarbelakang – Kemiskinan Orang Melayu dan Kekayaan Orang Inggeris
Pemandangan yang lazim selepas merdeka –seorang pesawah wanita sedang menanam anak padi
Selepas kemerdekaan Malaya pada tahun 1957, hampir 1 juta
bangsa pendatang seperti Cina dan India diberi kerakyatan secara
beransur-ansur. Sebagai balasannya, mereka bersetuju untuk menghormati
hak istimewa orang Melayu dalam perlembagaan.
Setelah lebih 10 tahun merdeka, pegangan orang Melayu
terhadap kekayaan bumi Malaya sangat kecil. Walaupun orang Melayu
merupakan majoriti , bangsa ini memegang hanya 1.5% bahagian harta
korporat (itupun melalui syarikat kerajaan) berbanding bangsa Cina
sebanyak 22.8%. Walaupun tidak lagi menjajah, bangsa Inggeris pula
memegang lebih 60 % dari kekayaan negara ini.
Pada masa yang sama, hampir separuh penduduk Malaya tinggal
di bawah paras kemiskinan. Orang Melayu yang kebanyakannya tinggal di
kampung sebagai petani dan pesawah adalah bangsa paling ramai tinggal
dalam kemiskinan (74%).
Ketidaksamarataan kekayaan dan sikap perkauman tebal
menyebabkan beberapa insiden pergaduhan terjadi berulang-ulang diantara
kaum pribumi yang miskin (Melayu) dengan kaum pendatang yang kaya
(Cina). Ia berlaku di beberapa tempat seperti di Georgetown, Pangkor dan
Bukit Mertajam — sehinggalah kemuncaknya pada tahun 1969 di
Kuala Lumpur
Kuala Lumpur
Dalam keputusan pilihanraya tahun itu, parti-parti bangsa
Cina dan parti Islam berjaya menafikan majoriti parlimen parti
pemerintah, sekaligus menyebabkan orang Melayu gusar kehilangan bukan
sahaja kuasa ekonomi malah kuasa politik mereka. Orang Cina pula
merayakan kemenangan mereka dengan berarak membawa penyapu dan
melemparkan laungan provokatif dalam perarakan besar di Kampung Baru ,
Kuala Lumpur – satu kawasan penempatan yang dihuni kaum Melayu.
Provokasi ini akhirnya mencetuskan insiden berdarah
13 Mei 1969 yang mengakibatkan ratusan mati dan darurat di isytiharkan.
13 Mei 1969 yang mengakibatkan ratusan mati dan darurat di isytiharkan.
Antara pihak yang lantang menyalahkan kerajaan pada waktu
yang dianggap memberi muka kepada kaum pendatang ialah seorang ahli
parti pemerintah bernama Mahathir Mohammad yang mengkritik Perdana
Menteri pertama dengan satu surat terbuka.
Katanya sikap berlembut Tunku Abdul Rahman menyebabkan “…
orang2 China dan India membuat kurang ajar pada 12 Mei kepada orang
Melayu. Kalau Tunku biasa di-ludah di-muka, di-maki dan di-tunjok
kemaluan, boleh-lah Tunku faham perasaan orang Melayu.”
Kerana kritikan ini, beliau dipecat dari parti itu.
Dasar Bagi Membantu Orang Melayu
Apabila Tun Abdul Razak menjadi perdana menteri ke-2
(1970-1976) beliau memperkenalkan satu dasar yang dianggap radikal yang
diberi nama
Dasar Ekonomi Baru (DEB). Tujuannya — menghapuskan kemiskinan bangsa Melayu dan memastikan agar pegangan orang Melayu dalam kekayaan negara dapat mencapai 30% pada tahun 1990.
Dasar Ekonomi Baru (DEB). Tujuannya — menghapuskan kemiskinan bangsa Melayu dan memastikan agar pegangan orang Melayu dalam kekayaan negara dapat mencapai 30% pada tahun 1990.
Dasar ini bukan saja akan membantu orang Melayu, tetapi juga boleh mengelakkan krisis antara kaum terjadi lagi.
Walaupun adanya dasar baru ini, pemilikan syarikat-syarikat
Inggeris sebenarnya semakin bertambah. Guthrie contohnya, mempunyai
175,000 ekar pada tahun 1970an tetapi memiliki lebih 190,000 ekar tanah
kelapa sawit, getah dan teh pada tahun 1981.
Sekitar tahun 1970an juga, seorang hartawan bijih timah
Cina dari Ipoh bernama Lee Loy Seng giat membeli tanah pertanian dari
British sehingga menyebabkan beliau menjadi salah seorang pemegang tanah
terbesar di negara ini.
Pada masa yang sama, syarikat-syarikat British
melengah-lengahkan usaha kerjasama dengan kerajaan dengan mengadakan
perjumpaan demi perjumpaan dengan wakil kerajaan tanpa sebarang
resolusi. Guthrie juga menolak usaha kerajaan untuk penanaman semula
getah untuk pekebun kecil Melayu dan penubuhan kesatuan sekerja yang
dianggap menyusahkan British.
Tetapi atas tekanan Bank Negara Malaysia, Guthrie akhirnya
menubuhkan Guthrie-Ropel, sebuah anak syarikat Guthrie yang diberi
kurang 17% dari jumlah tanah Guthrie di Malaysia. Usaha kerajaan ini
bertujuan agar orang tempatan dapat membeli sebahagian kecil tanah
Guthrie melalui Bursa Saham Kuala Lumpur. Namun begitu, tembelang
British akhirnya pecah apabila didapati bahawa kebanyakan tanah
kepunyaan Guthrie-Ropel adalah tanah yang buruk untuk pertanian dan
lazimnya terletak di atas kawasan bukit.
Pemerintah Anti-Penjajah, Mahathir Menduduki Kerusi Penting
Mahathir sewaktu sidang PBB
Mahathir yang diterima masuk semula pada 3 tahun selepas dipecat, akhirnya menjawat kerusi Perdana Menteri pada tahun 1981.
Berbeza dari 3 Perdana Menteri sebelum ini, Mahathir
dirakamkan oleh ahli sejarah sebagai Perdana Menteri pertama yang tidak
merokok, tidak minum arak dan tidak meminati sukan golf. Dan jika
pemegang jawatan sebelum beliau berdarah raja, berpendidikan British dan
mengekalkan hubungan baik dengan Inggeris, Mahathir pula belajar di
Universiti Malaya Singapura, tidak mempunyai rakan berbangsa Inggeris
dan terkenal dengan sikap anti-penjajahnya.
Sebelum menjadi Perdana Menteri lagi, beliau mengkritik
dasar Inggeris yang membuka Tanah Melayu seluas-luasnya kepada pendatang
dari India dan China, sekaligus menyebabkan orang Melayu terpinggir.
2 tahun sebelum beliau menjadi Perdana Menteri, pihak
Inggeris menarik semula subsidi pendidikan kepada pelajar Malaysia yang
melanjutkan pelajaran di Britain dan menaikkan yuran kepada pelajar
asing, tetapi tidak kepada pelajar Eropah.
Ia memberikan tamparan hebat kepada 17,000 pelajar Malaysia
di negara itu yang terbeban dengan yuran pengajian yang meningkat 3
kali ganda secara tiba-tiba. Malaysia juga pada waktu itu tidak mampu
menyerap pelajar-pelajar ini kerana ia hanya mempunyai 2 buah
universiti.
Mahathir yang ketika itu merupakan Menteri Perdagangan
memberi amaran bahwa tindakan ini akan merugikan Britain dalam jangka
masa panjang. Namun begitu, amaran beliau tidak diendahkan.
Tidak lama kemudian, London menolak permohonan Malaysia
agar syarikat penerbangan MAS diberi hak mendarat tambahan di lapangan
terbang Heathrow. Tetapi pada masa yang sama, Inggeris mencabar
kewibawaan kerajaan Malaysia apabila sebuah pesawat supersonic Concorde
miliknya menceroboh ruang antarabangsa Subang dalam perjalanannya ke
Singapura.
Mahathir melihat ini sebagai sikap angkuh British yang masih memperlakukan Malaysia seperti tanah jajahannya.
Dato Ismail Ali Sebagai Pemimpin Serangan
Tandatangan Ismail atas wang kertas 50 ringgit Malaysia sewaktu menjadi gabenor bank negara.
Keangkuhan British bukan sahaja disedari oleh Mahathir dan
ahli-ahli politik Melayu, tetapi turut dirasai oleh penjawat awam
seperti pengerusi PNB, Dato Ismail Ali. Secara kebetulan, abang ipar
Mahathir ini juga adalah bekas Gabenor Bank Negara yang terlibat
menggesa Guthrie menubuhkan Guthrie-Ropel.
Beliau juga adalah antara tokoh utama yang menubuhkan
PNB
PNB
— satu agensi yang ditugaskan khas bagi menjayakan DEB.
Sewaktu menjawat jawatan gabenor Bank Negara lagi, beliau
menunjukkan sikap tidak mesra kepada Inggeris. Mark Gent, iaitu
pengerusi Guthrie ketika itu berkata, beliau dan pengarah urusan
Guthrie, Eric Griffith-Jones hampir pasti akan diarah oleh Ismail Ali
untuk “menunggu diluar pejabatnya selama ½ jam” setiap kali mesyuarat
diadakan.
Sewaktu Ismail menjadi gabenor juga, wang negara yang
disimpan di bank Inggeris seperti HSBC dan Chartered dipindahkan ke bank
tempatan. Bank-bank asing pula tidak lagi diberi peluang membuka
cawangan di Malaysia.
Seperti Mahathir, beliau juga tidak berpuashati dengan
orang Inggeris kerana sungguhpun PNB memiliki 25% saham Guthrie, tiada
wakil PNB yang dirujuk dalam mesyuarat untuk menentukan halatuju
syarikat. Ini termasuk keputusan Guthrie menjual beberapa kepentingannya
kepada MPH, sebuah syarikat koperasi milik hartawan-hartawan Cina di
Malaysia pada awal 1981.
Syarikat MPH yang memiliki aset yang banyak ini pernah cuba
membeli bank UMBC (iaitu antara bank terbesar negara ketika itu)
sehingga menyebabkan Mahathir campurtangan. Agar ia tidak didominasi
bangsa Cina, Mahathir memastikan PERNAS dan Petronas juga mempunyai
kepentingan dalam UMBC.
Kedua-dua tokoh ini melihat bahawa jika pengambilalihan
demi pengambilalihan MPH diteruskan, bangsa Cina semakin hampir
mengganti orang Inggeris menguasai ekonomi negara ini.
Atas sebab ini, Ismail membuat keputusan nekad. Guthrie mesti diambilalih secepat mungkin.
Kerjasama Pelbagai Pihak
Kerjasama Pelbagai Pihak
Setahun sebelum menjadi Perdana Menteri, Mahathir yang
merupakan Menteri Perdagangan dan Tengku Razaleigh Hamzah selaku Menteri
Kewangan telah di maklumkan oleh Ismail Ali bahawa beliau merancang
untuk mengejutkan Inggeris dengan pengambilalihan syarikat mereka.
4 bulan sebelum serangan, pasukan di PNB yang diterajui
oleh pengurus pelaburan bernama Khalid Ibrahim diberi tugas khas untuk
meneliti dan merangka strategi bagi memastikan semua berjalan lancar.
Khalid yang pernah bekerja di Barings London (iaitu
syarikat yang menjadi penasihat kewangan Guthrie), pakar-pakar pelaburan
PNB dan penasihat dari bank saudagar N. M. Rothschild & Sons Ltd
diarahkan untuk mengkaji secara rahsia samada Guthrie boleh diambilalih.
Jika positif, mereka diarahkan merangka strategi terperinci bagaimana
ianya boleh dibuat.
Hasil dari penelitian mereka, kumpulan ini menjumpai satu
kelemahan dalam akta bursa saham London yang boleh dieksploitasi. Dengan
kelemahan ini, satu serang hendap ekonomi untuk mengambilalih Guthrie
boleh dibuat. Syaratnya ianya dibuat sepantas dan serahsia mungkin
hingga Inggeris tidak sempat melakukan pertahanan.
Dengan persetujuan Mahathir, modal pengambilalihan
(sebanyak 282 juta pound) diambil dari tiga punca – Petronas, PERNAS dan
menerusi satu skim amanah saham baru yang ditawarkan kepada orang
Melayu 4 bulan sebelum serangan. Skim ini dinamakan Amanah Saham
Nasional (ASN).
Untuk memastikan Inggeris tidak menyedari bahawa kerajaan
Malaysia berada di belakang pengambilalihan ini, Khalid diarahkan oleh
Rothschilds untuk membuka bank akaun di Switzerland untuk tujuan
pembayaran saham.
Mengapa Guthrie ?
Mengapa Guthrie ?
Guthrie menjadi sasaran kerana selain dimiliki pelabur
Ingeris, saham-saham Guthrie pada waktu itu juga dipegang oleh beberapa
syarikat bukan Inggeris yang mesra kepada PNB. Antara syarikat tersebut
antaranya adalah Genting, Bank Simpanan Nasional, Kuwait Investment
Office dan OCBC.
Dengan pegangan sedia ada sebanyak 25%, PNB memerlukan 15%
saham sahaja lagi bagi menjadikan keseluruhan pegangannya ke 40% ,
sekaligus menjadikannya sebagai pemegang saham utama Guthrie.
Untuk ini, N. M. Rothschild & Sons Ltd dilantik bagi
membeli saham Guthrie dari pelabur besar bagi pihak PNB, manakala Rowe
& Pittman pula dilantik menjadi broker bagi membeli saham Guthrie
dari pelabur-pelabur kecil.
Ideanya di sini ialah agar sebahagian besar saham Guthrie di Malaysia dan di
London dibeli serentak sebelum bursa dibuka, dan ia mesti dibeli tanpa disedari oleh pihak pengurusan Guthrie sendiri.
London dibeli serentak sebelum bursa dibuka, dan ia mesti dibeli tanpa disedari oleh pihak pengurusan Guthrie sendiri.
Untuk memastikan kejayaan serangan rahsia ini, hanya
sekumpulan kecil perancang sahaja yang terlibat secara langsung.
Mohammad Desa Pachi, yang juga Ketua Eksekutif PNB ketika itu juga tidak
diberitahu secara terperinci bagaimana operasi ini akan dilaksanakan.
Operasi Serangan Subuh atau “Dawn Raid”
Hari serangan akhirnya diputuskan — 7 September, pukul 9 pagi waktu London (4 petang waktu Malaysia).
Mengikut rancangan, kesemua yang terlibat akan mendapatkan
persetujuan penjual-penjual sebelum bursa dibuka. Apabila ia dibuka, PNB
akan mengisytiharkan berita menggemparkan ini dan menguruskan
dokumentasinya sahaja — sekaligus memberi kejutan kepada Guthrie dan
pemegang saham lain.
Yang rumitnya ialah memastikan pembelian ini dilakukan
secara rahsia. Kerana jika ia terbongkar awal, harga saham Guthrie bakal
melambung tinggi dan pengurusan Guthrie akan bertindakbalas untuk
menggagalkan serangan hendap ini.
Di Malaysia Khalid yang diberi tugas menguruskan pembelian
di sini optimis bahawa Bank Simpanan, Genting dan Kuwait Investment
Group akan menerima tawaran PNB kerana ketiga-tiganya dianggap “mesra”
dengan PNB.
Dato Ismail pula bergegas ke Singapura pada hari itu untuk
berjumpa dengan pengerusi OCBC. Rancangannya ialah untuk meyakinkan
pihak OCBC untuk menerima tawaran membeli saham Guthrie yang dipegang
bank itu pada pukul 3:30 ptg, dan menghantar notis penerimaan pada pukul
3:45 petang.
Di London, Rowe & Pittman serta Rothschilds hanya
menunggu lampu hijau dari Malaysia untuk membeli saham-saham Guthrie
dari pelabur Inggeris pada pagi tersebut.
Sewaktu di Singapura, Ismail dan pengerusi OCBC, Tan Chin
Tuan berbincang mengenai pembelian saham Guthrie sewaktu makan
tengahari. Perbincangan yang memakan masa lama itu akhirnya berakhir
dengan satu berita kurang enak. OCBC menolak tawaran PNB.
Ismail menelefon Khalid dan memberitahu berita buruk
tersebut. Tetapi oleh kerana Khalid telah berjaya membeli saham dari
Kuwait, Bank Simpanan dan Genting, mereka tiada jalan lain kecuali
meneruskan serangan.
Di London, sebaik menerima lampu hijau, kedua-dua firma
yang diupah PNB memulakan proses pembelian sepantas mungkin. Bank
saudagar Rothschilds berjaya memujuk M&G Investment Trust, sebuah
syarikat amanah saham Inggeris (yang memegang 17% dari Guthrie) menjual
11% saham Guthrie miliknya.
Broker-broker Rowe & Pittman yang ditugaskan membeli
saham dari pelabur kecil Britain pula berjaya mengumpulkan sasaran 5%
saham dari orang Inggeris.
Walaupun tanpa saham OCBC, dalam masa 4 jam, PNB berjaya
memiliki 8 juta saham, atau 50.41% dari keseluruhan syarikat, tanpa
disedari atau keizinan pihak pengurusan Guthrie.
Lewat tengahari waktu London, Guthrie jatuh ke dalam genggaman Malaysia.
Mahathir Terus Menekan British
Laporan akhbar Glasgow Herald di London pada 8 Sept 1981
Pengerusi Guthrie, Mark Gent hanya sedar bahawa bahawa
syarikatnya jatuh ke tangan Malaysia setelah mendengar berita itu di
radio.
Pengambilalihan secara tiba-tiba dengan mengeksploitasi
kelemahan system bursa London oleh tanah jajahannya sendiri menyebabkan
kerajaan British malu besar.
Walaupun ada broker di London memujinya sebagai urusniaga
“licik”, media London kebanyakannya menyelar serangan ini sebagai
“nasionalisasi pintu belakang”. Sebagai tindakbalas, London kemudiannya
bertindak meminda peraturan di Bursa Saham London bagi memastikan
syarikat-syarikat lain milik British seperti Dunlop tidak jatuh dengan
cara sama.
Sebulan selepas itu, London dikejutkan lagi dengan pengumuman baru Mahathir.
Mahathir mengumumkan bahawa Malaysia akan memboikot
barangan dan perkidmatan dengan British melalui kempen yang dinamakan
Buy British Last. Mahathir yang marah kerana spekulasi timah dunia di
London mengakibatkan harga eksport utama Malaysia jatuh mendadak, telah
mengarahkan agar semua kontrak kerajaan kepada pihak British dibekukan.
Tindakan Mahathir ini memberi kesan besar kepada kontrak
semasa dan akan datang British berjumlah 1.25 billion pound sterling
yang sepatutnya diterima oleh British. Kontrak Dunlop untuk membekal
tayar kepada kerajaan sejak 1963 lagi contohnya kini diberi kepada
sebuah syarikat Amerika Syarikat sehingga menyebabkan Dunlop menjual
kepentingan mereka kepada MPH.
Dalam masa 3 bulan, saham-saham Guthrie perlahan-lahan
dijual kepada PNB. Pada akhir tahun 1981, 100% Guthrie berada di bawah
pegangan anak tempatan.
Ismail akhirnya mengambilalih pengurusan Guthrie dan
memindahkan ibu pejabat operasi Guthrie dari London ke Kuala Lumpur
sebagai tanda berakhirnya penguasaan Inggeris ke atas syarikat tersebut.
Tidak lama selepas Dawn Raid juga, Mahathir memboikot
Persidangan Negara-Negara Komanwel (negara bekas jajahan British) yang
diterajui oleh Britain. Menurutnya, mesyuarat itu hanya melebihkan
kepentingan orang berkulit putih.
Beliau juga mengumumkan dasar baru kerajaan iaitu Dasar
Pandang ke Timur. Dengan dasar ini , cara kerja Inggeris akan digantikan
dengan cara pengurusan dan kerja orang Jepun, Taiwan dan Korea.
Hasil Besar dari Serangan
Hasil Besar dari Serangan
Operasi mengejut “serangan subuh” ke atas Guthrie dan
dasar-dasar keras Mahathir memberi impak besar dalam masa yang cukup
singkat.
Firma-firma British di Malaysia yang sebelum ini bersikap
acuh tidak acuh kepada arahan kerajaan Malaysia kini akur membuka pintu
rundingan.
Tidak lama selepas itu, tiga syarikat perladangan besar
British di Malaysia — Highlands & Lowlands, Barlows dan Harrisons
& Crosfield (H&C) akhirnya tunduk menjual kepentingan mereka di
Malaysia kepada PNB. Hasilnya, tanah milik Guthrie dan tanah-tanah lain
milik Inggeris di Malaysia kembali ke tangan rakyat Malaysia.
Oleh kerana H&C memiliki tanah ladang getah, kelapa
sawit dan aset bukan sahaja di Malaysia tetapi di negara lain seperti di
India, New Zealand dan Taiwan, PNB juga menjadi tuan tanah baru kepada
asset-aset Inggeris dari seluruh dunia.
Dengan pemilikan baru ini, PNB selaku wakil orang Melayu muncul sebagai pemilik tanah ladang terbesar di dunia.
Lebih manis lagi, dalam temuramah dengan wartawan tempatan,
Khalid memberitahu bahawa setelah PNB menjual aset Guthrie di luar
Malaysia, keuntungan yang didapati melebihi jumlah kos yang diguna
sewaktu Dawn Raid.
Kata Khalid “..kita sebenarnya mendapat Guthrie secara percuma.”
Nota:
1. Penulis merakamkan jutaan terima kasih kepada Dr. Shakila Yacob atas kesudian memberi manuskrip kajian beliau bersama Nicholas J. White untuk rujukan penulis.
1. Penulis merakamkan jutaan terima kasih kepada Dr. Shakila Yacob atas kesudian memberi manuskrip kajian beliau bersama Nicholas J. White untuk rujukan penulis.
2. Penulis memaparkan tulisan ini sebagai rencana ilmiah,
dan tidak berminat untuk memihak kepada mana-mana individu atau parti
politik.
3. Penulis mendapati terdapat sumbangan penting tokoh-tokoh
lain dalam Dawn Raid seperti Ananda Krishnan dan Tengku Razaleigh.
Tidak disebut dlm artikel ini kerana kekurangan sumber maklumat.
4. Loophole/kelemahan bursa London pada waktu itu tidak diperincikan untuk memudahkan pemahaman pembaca.
Rujukan:
Shakila Yacob & Khadijah Md Khalid (2012): Adapt or
Divest? The New Economic Policy and Foreign Businesses in Malaysia
(1970-2000), The Journal of Imperial and Commonwealth History, 40:3,
459-482
Shakila Yacob & Nicholas J. White (2010): The “Unfinished Business” of Malaysia’s Decolonisation: The Origins of the Guthrie Dawn Raid, Cambridge University Press 2010
Karminder Singh Dhillo (2009): Malaysia Foreign Policy in the Mahathir Era, 1981-2003: Dilemmas of Development
Brian Ritchie (2005): Coalitional Politics, Economic Reform, and Technological Upgrading in Malaysia, Elsevier World Development Vol 33, pp 745-761
Abdul Rahman Embong (1996): Social Transformation, the State and the Middle Classes in Post-Independence Malaysia, Southeast Asian Studies, V01. 34, No. 3, December 1996
Boon Kheng Cheah (2002) : Malaysia: The Making of a Nation
Tin Price Moves Jolt Market : Reuters (The New York Times); Financial Desk, November 28, 1981, Saturday
Surat Terbuka Dr. Mahathir kepada Tunku Abdul Rahman, Jun 1969
PNB Wrests Control of Guthrie Corp : The Straits Times Singapore, September 9, 1981
PNB Making Up For Lost Time: The Straits Times Singapura
Shakila Yacob & Nicholas J. White (2010): The “Unfinished Business” of Malaysia’s Decolonisation: The Origins of the Guthrie Dawn Raid, Cambridge University Press 2010
Karminder Singh Dhillo (2009): Malaysia Foreign Policy in the Mahathir Era, 1981-2003: Dilemmas of Development
Brian Ritchie (2005): Coalitional Politics, Economic Reform, and Technological Upgrading in Malaysia, Elsevier World Development Vol 33, pp 745-761
Abdul Rahman Embong (1996): Social Transformation, the State and the Middle Classes in Post-Independence Malaysia, Southeast Asian Studies, V01. 34, No. 3, December 1996
Boon Kheng Cheah (2002) : Malaysia: The Making of a Nation
Tin Price Moves Jolt Market : Reuters (The New York Times); Financial Desk, November 28, 1981, Saturday
Surat Terbuka Dr. Mahathir kepada Tunku Abdul Rahman, Jun 1969
PNB Wrests Control of Guthrie Corp : The Straits Times Singapore, September 9, 1981
PNB Making Up For Lost Time: The Straits Times Singapura
SUMBER ; BLOG WAADAT