Sayap ketenteraan Hamas, Briged
Al-Qassam hanya memiliki keanggotaan seramai 30,000 orang. Seteru mereka
pula, tentera rejim Zionis Israel dikhabarkan mempunyai seramai 720,000
orang anggota. Israel juga memiliki keupayaan ketenteraan terhebat di
dunia dengan teknologi peperangan yang tercanggih pada masakini,
ditambah lagi dengan dokongan sekutu-sekutunya terutama sekali Amerika
Syarikat. Menilai dari segi kekuatan kedua-dua pihak, sememangnya
berbeza ibarat langit dan bumi.
Namun dengan bilangan tentera yang jauh
lebih sedikit, Briged Al-Qassam telah berhasil memberikan satu tamparan
hebat kepada rejim Zionis Israel dalam Perang Al-Asful Ma’kul yang masih
berterusan hingga ke hari ini. Sepanjang tempoh lebih sebulan
peperangan, bilangan tentera Israel yang terbunuh adalah seramai 497
orang, sepuluh kali ganda lebih ramai berbanding bilangan anggota
Al-Qassam yang syahid terkorban.
Dengan tekad yang jitu untuk mengecapi
syahid di jalan-Nya dan tawakkal yang tidak berbelah bahagi kepada Allah
swt, anggota-anggota Briged Al-Qassam telah mempamerkan sosok
keberanian dan keperwiraan yang menjadikan mereka mimpi ngeri buat
tentera Israel. Keupayaan ketenteraan dan kebijaksanan strategi
peperangan Hamas dalam peperangan kali ini juga jauh di luar jangkaan
rejim Zionis Israel, sekaligus menimbulkan kegerunan dahsyat kepada
mereka.
Berikut dipaparkan sebahagian contoh
kehebatan Briged Al-Qassam dalam aspek keupayaan ketenteraan yang telah
dipamerkan sepanjang Perang Al-Asful Ma’kul kali ini:
1) Keberanian Komando Darat Al-Qassam dengan strategi peperangan yang pelbagai
Sebahagian besar kematian yang dialami
tentera Israel adalah akibat operasi ketenteraan yang dibuat oleh
Komando Darat Al-Qassam. Operasi darat Al-Qassam berjaya menembusi
beberapa kem tentera rejim Zionis dan kemudiannya membunuh tentera
penjajah. Dalam satu serangan hendap ke atas kem tentera Israel di Nahal
Oz, skuad Komando Al-Qassam berjaya menyelinap melalui rangkaian
terowong rahsia dan menggunakan taktik penyamaran sebagai tentera Israel
yang berhasil mengelirukan musuh.
Operasi dilakukan secara tersusun di
mana pasukan Al-Qassam itu hanya mengambil masa sekitar 2 minit untuk
menyelesaikan misi mereka, cukup untuk melakukan serangan dan kemudian
berundur semula ke dalam terowong. Mereka juga melaksanakan operasi
dengan cermat seperti tidak melepaskan tembakan secara rambang dan
bertalu-talu, tidak memusnahkan lokasi atau meletupkan menara kawalan
yang boleh menarik perhatian tentera Israel di kem-kem yang lain.
Antara strategi peperangan Komando Darat
Al-Qassam lain yang turut menonjol kali ini penggunaan perangkap samar
dan keupayaan untuk meletupkan kenderaan tentera musuh dengan alat
kawalan jauh.
2) Penggunaan Komando Amfibia Al-Qassam yang tidak dijangkakan musuh
Dalam keadaan Gaza yang terkepung secara
total, Briged Al-Qassam masih berjaya menembusi negara haram Israel
melalui jalan laut dengan menggunakan skuad Komando Amfibia Al-Qassam
yang sama sekali tidak pernah dijangkakan oleh tentera Zionis. Komando
Amfibia Al-Qassam berhasil melaksanakan beberapa operasi untuk
mencerobohi kem tentera Israel dan seterusnya melakukan serangan darat
secara berdepan.
3) Teknologi roket baru R-160 yang berupaya mencapai sasaran lebih jauh
Serangan roket Al-Qassam dalam
peperangan kali ini dilaporkan telah sampai ke wilayah Israel yang
sebelum ini tidak pernah berjaya dijangkau. Kalau sebelum ini Al-Qassam
telah memperkenalkan roket M-75 yang berupaya mencapai sasaran sehingga
70-75 km, kali ini Al-Qassam berjaya menghasilkan pula roket jenis R-160
(Rantissi 160) yang memiliki jangkauan sasaran sehingga 160 km. Roket
ini diberi nama sempena Asy-Syahid Abdul Aziz Rantissi yang telah syahid
pada tahun 2004 akibat bedilan peluru berpandu oleh helikopter Apache
Zionis Israel.
Laporan Al-Qassam menyatakan bahawa
roket R-160 telah berjaya dilancarkan ke wilayah Haifa, bahagian paling
utara di negara haram Israel yang jaraknya kira-kira 140 kilometer dari
Gaza. Perkembangan ini menggemparkan seluruh penduduk Israel kerana kini
tiada lagi tempat yang selamat untuk mereka daripada ancaman serangan
roket Al-Qassam. Serangan roket yang dilancarkan dari Gaza juga telah
melumpuhkan operasi di Lapangan Terbang Ben Gurion di Tel Aviv.
4) Penghasilan senjata penembak tepat “Ghoul” buatan sendiri
Al-Qassam juga telah berjaya mencipta
sendiri senjata penembak tepat (sniper) yang dinamakan “Ghoul” yang
mampu mencapai jarak sejauh 2 kilometer. Sedangkan jarak tipikal sebuah
sniper rifle biasa hanyalah dalam lingkungan bawah 1 kilometer. Sniper
yang memiliki kaliber 14.5 mm ini diberi nama sempena salah seorang
jurutera Al-Qassam bernama Adnan al-Ghoul yang telah syahid pada tahun
2004. Senjata ini juga dikatakan mempunyai keupayaan penglihatan
teleskopik.
5) Inovasi roket yang berupaya mengelak sistem pertahanan Iron Dome
Peperangan kali ini menyerlahkan
kegagalan Iron Dome milik Israel yang selama ini didakwa sebagai sistem
pertahanan ketenteraan tercanggih di dunia. Sistem Iron Dome sebelum ini
didakwa memiliki kadar kejayaan sehingga 90%, namun kajian yang
dilakukan sepanjang peperangan kali ini menunjukkan Iron Dome hanya
mampu mematahkan 30-40% serangan roket yang dilancarkan dari Gaza. Malah
pihak tentera Israel sendiri mengakui dalam tempoh 24 jam tertentu
sewaktu perang, Iron Dome mereka hanya mampu mematahkan 8 daripada
hampir 120 roket yang dilancarkan oleh Al-Qassam.
Situasi ini mencetuskan situasi panik
dan huru-hara kepada rejim Zionis Israel apabila Iron Dome milik mereka
ternyata tidak dapat menghalang sepenuhnya serangan roket ciptaan
Al-Qassam. Penganalisis tentera Israel sendiri mengakui bahawa inovasi
Al-Qassam telah berjaya menghasilkan roket Jaabari 80 dengan teknologi
yang mampu mengelak daripada Iron Dome. Pergerakan roket Jaabari 80
secara berayun dan tidak tetap menyebabkan sistem pertahanan Iron Dome
gagal untuk menangkis serangan tersebut.
6) Pelancaran pesawat udara tanpa pemandu
Buat pertama kalinya dalam peperangan
kali ini, Briged Al-Qassam telah memperkenalkan pesawat udara tanpa
pemandu mereka yang dinamakan Ababil 1 kepada umum. Al-Qassam mendakwa
bahawa pesawat tanpa pemandu itu yang sarat dengan bahan letupan telah
dilancarkan ke ruang udara Israel. Al-Qassam telah berjaya menghasilkan
beberapa jenis pesawat udara tanpa pemandu, antaranya model A1A yang
pertama sekali dicipta, jenis A1B yang berupaya melancarkan peluru
berpandu dan jenis A1C yang boleh melakukan serangan Kamikaze
(meletupkan diri sendiri dengan melanggar lokasi sasaran).
Kehebatan yang ditonjolkan oleh Briged
Al-Qassam sepanjang Perang Al-Asful Ma’kul kali ini memberikan umat
Islam sinar harapan bahawa umat Islam di Palestin tidak akan mengalah
begitu sahaja dan menyerahkan tanah mereka kepada rejim Zionis Israel
tanpa sebarang penentangan. Bahkan Al-Qassam menjanjikan lebih banyak
kejutan kepada Israel sekiranya mereka terus berdegil untuk menindas dan
tidak mengembalikan hak-hak penduduk Palestin khususnya di Gaza.
Tidak keterlaluan jika kita katakan
Briged Al-Qassam adalah ibarat tentera Salahuddin Al-Ayyubi atau
ketumbukan Muhammad Al-Fateh pada zaman ini. Merekalah hero umat Islam
pada hari ini.
Mohd Firdaus bin Sabturani
Setiausaha Biro Media ISMA
Setiausaha Biro Media ISMA
No comments:
Post a Comment