Pilih 5 Ramadan ucap Syahadah
ADA yang gembira, tidak kurang juga yang memperlekehkan saat melihat
Felixia Yeap berhijab awal tahun ini. Tidak melayan kata-kata negatif
yang dilemparkan, dia tahu yang terbaik buat dirinya.
Bagi Felixia, dia tidak boleh memadamkan sejarah lama apabila
wajahnya pernah terpampang sebagai model pakaian renang untuk majalah.
Namun dia mempunyai pilihan untuk meninggalkan terus bidang yang pernah
menaikkan namanya satu ketika dahulu.
Melihatkan perubahan terkini wanita tersebut, ramai yang beranggapan
Felixia melakukan perubahan drastik walaupun dia masih belum memeluk
Islam.
Dia selesa dengan berhijab dan berpakaian menutup aurat.
Apa sahaja tanggapan orang terhadap dirinya ditolak ke tepi. Baginya
sesiapa sahaja berhak mempersoalkan mengapa dia sanggup menutup aurat
dan tuduhan lain termasuk mencari peluang yang lebih baik.
Sementelah sejak mengenakan hijab, nama Felixia semakin mendapat
perhatian masyarakat. Ada yang menawarkan peluang berlakon dan pernah
muncul dalam drama Nikah Kita Bercinta, Sarafina dan Berikan Aku Jilbab,
tidak kurang juga yang mahu menjadikan dia contoh masyarakat.
"Jangan kaitkan soal lain dengan pendirian saya. Saya minat untuk
mendalami Islam. Rasanya tak salah untuk saya mendekati Islam dan
belajar sedikit demi sedikit tentangnya.
"Tentang pandangan orang itu hak mereka. Bagi saya semua orang ada
pandangan tersendiri dan berhak untuk memberikan semangat kepada saya
atau sebaliknya," tegas pelakon ini kepada Pancaindera.
Cahaya Ramadan
Debar hatinya cukup kencang mengenangkan hari bahagia yang bakal
menjelma. Tiada yang mampu menggambarkan keredaan hati Felixia yang
bakal memeluk Islam pada 3 Julai ini.
Sengaja memilih tarikh berkenaan sebagai detik keramat untuk memeluk
Islam, Felixia juga menganggap hari itu umpama kelahiran semula dirinya
kerana tarikh tersebut juga merupakan hari lahirnya.
Bagi Felixia dalam usia 28 tahun, dia cukup matang untuk memilih
Islam sebagai agamanya dan hasrat tersebut telah diketahui umum sejak
dia mula mengenakan hijab.
"Yang boleh saya katakan buat masa ini, saya mahu mengucap Syahadah
dengan tenang. Biar saya lakukan dahulu perkara tersebut dan barulah
saya mendalami Islam.
"Dalam bab mencari ilmu ini sampai mati pun tak habis. Sebab itu saya
harap orang tidak mendesak saya dengan pelbagai permintaan. Biarlah
perkara tersebut berlaku sedikit demi sedikit," luah Felixia.
Tanpa berselindung wanita yang berasal dari Ipoh, Perak ini mengakui
masih banyak perkara yang perlu dipelajari untuk menjadi seorang
Muslimah yang baik.
Meskipun masih belum berkesempatan belajar cara bersolat dengan betul
tetapi dia sudah menghafal surah al-Fatihah dan beberapa perkara asas
lain, selain sudah tiga bulan mengikuti kelas agama.
Tidak menganggap pelajaran barunya itu sebagai sesuatu yang
membebankan malah baginya perkara tersebut satu tuah untuk wanita bukan
Islam sepertinya yang diberikan hidayah oleh Allah SWT.
"Saya sudah bersedia untuk memeluk Islam pada 5 Ramadan ini. Dalam
fasa ini saya hanya mengharapkan semua orang agar mendoakan yang terbaik
buat saya.
"Apabila hati sudah tertarik, saya tak boleh tangguh lama-lama. Allah
sudah bukakan pintu hati saya untuk memeluk agama Islam," tambahnya
lagi.
Pandangan skeptikal
10 tahun bergelumang dalam bidang peragaan dan menjadi model seksi
bukan satu perjalanan yang manis untuk dikenang. Tidak juga mahu
melupakan perkara tersebut, Felixia menganggap itu merupakan titik tolak
perubahan dirinya.
Ini kerana sejak memilih untuk berhijab, timbul satu perasaan yang
sukar untuk digambarkan. Dia mula perasan tidak ada lagi pandangan
skeptikal masyarakat seperti sebelum menutup aurat.
Baginya pandangan orang luar terhadapnya ketika berpakaian seksi lebih menakutkan jika dibandingkan ketika dia memakai hijab.
"Saya masih ingat ketika ingin mengenakan hijab dan mendalami Islam, hati saya cukup tenang.
"Saat saya belajar tentang Islam sedikit demi sedikit perasaan marah
juga sudah berkurangan dan yang paling penting saya banyak bersabar. Ini
merupakan sifat berlawanan daripada sebelumnya," jelas wanita ini.
Mengakui agak baran satu masa dahulu, Felixia yakin hidayah untuk
mendekati agama Islam membuatkannya menjadi penyabar dan semakin terbuka
dalam banyak hal.
Namun perkara yang paling penting ialah sokongan keluarga terhadap
dirinya. Menganggap ibu sebagai pendorong paling kuat untuknya berubah,
Felixia berbangga kerana hasrat itu tidak pernah ditentang oleh
keluarganya.
Baginya kasih sayang ibu terhadap dirinya begitu besar maknanya meskipun dia bakal memeluk Islam tidak lama lagi.
"Pada awal perubahan dulu ibu ada bertanya tentang perkara tersebut.
Dia ingat saya hanya main-main atau bergambar suka-suka dengan pakaian
Muslimah. Dia tak melarang tetapi terkejut dengan perubahan diri saya.
"Tapi apabila banyak sikap buruk saya buang sedikit demi sedikit, ibu
mula menerima dengan hati yang terbuka. Kalau perubahan ini
mendatangkan kebaikan kepada saya sudah tentu menggembirakan mereka
juga.
"Saya sendiri sudah dewasa dan boleh menentukan yang terbaik buat
diri. Yang saya perlukan sekarang ialah doa orang lain untuk saya
merealisasikan perkara ini," jelasnya yang akan membawa ibu bersama-sama
ketika memeluk Islam nanti.
Selain ibunya, pasti ramai tertanya-tanya apakah teman lelakinya
menjadi pendorong kuat untuk Felixia melakukan perubahan ini. Namun
Felixia menjelaskan mengenali agama Islam terlebih dahulu sebelum
dipertemukan dengan lelaki tersebut.
"Saya sedar perancangan masa depan kami hampir sama dan sehaluan. Dia
tetap menjalankan tugasnya dalam membimbing dan memberi galakan kepada
saya terutama apabila saya mula rasa tertekan dan mahu mengalah,"
jelasnya yang enggan mendedahkan siapa yang sedang bertakhta di hati
kerana mereka masih lagi di peringkat saling kenal-mengenali.
Nama melalui mimpi
Kesempatan untuk bertemu Ramadan tahun ini disifatkan sebagai
pertemuan yang paling indah buat dirinya yang bakal bergelar seorang
Muslimah tidak lama lagi.
Sudah ada nama yang difikirkan sesuai untuknya. Felixia hanya
bersedia untuk mendedahkan perkara tersebut sebaik sahaja dia mengucap
dua kalimah Syahadah nanti.
"Nama tersebut saya dapat melalui mimpi. Waktu itu saya masih ingat
lagi tulisan itu terhampar di depan saya yang saya tidak ketahui
maksudnya.
"Apabila saya bangun saya catatkan perkataan dalam mimpi tersebut dan
saya cari maknanya. Saya anggap ini sebagai tanda untuk saya
menggunakan nama tersebut apabila sudah memeluk agama Islam nanti,"
ceritanya sambil memberitahu makna namanya iaitu pemimpin raja yang
mempersona.
Berharap Ramadan kali ini memberikan pengalaman manis untuk orang
baru sepertinya, selain menumpukan kerjaya dalam bidang peragaan dan
lakonan, Felixia juga mahu menjadi penceramah bebas.
No comments:
Post a Comment