Genggam agama umpama genggam bara
Pada suatu hari baginda s.a.w telah menyatakan kerinduan baginda s.a.w terhadap kekasih-kekasih baginda s.a.w. lantas ditanya oleh para sahabat; “Bukankah kami ini kekasihmu wahai Rasulullah?” Maka baginda s.a.w lantas menyatakan; “Tidak. Bahkan kalian sahabatku. Kekasihku ialah sekelompok manusia yang datang pada akhir zaman. Mereka itu menggenggam agama mereka umpama mereka menggenggam bara.”
Siapakah golongan yang istimewa ini? Golongan yang sahabat merasa iri hati dengan mereka kerana kerinduan baginda s.a.w terhadap mereka? Ya mereka itulah golongan yang dikatakan oleh baginda s.a.w sebagai segolongan dari umatnya yang bukan sezaman dengan baginda s.a.w. yang bukan bertemu dengan baginda s.a.w dan bukan juga yang sama-sama berperang dengan baginda s.a.w. akan tetapi mereka adalah golongan yang datang pada akhir zaman.
Wah! Mengapakah mereka ini dirindui oleh baginda s.a.w? Ya… kerana mereka ini sanggup menggenggam bara walaupun ianya panas membakar. Mereka sanggup menggenggam walaupun tangan mereka terbakar hangus. Mereka sanggup menggenggam bara walau ia menyakitkan dan mencederakan.
Mengapakah baginda s.a.w umpamakan mereka seperti menggenggam bara api?
Baginda s.a.w telahpun nyatakan bahawa mereka ini adalah mereka yang datang dan hidup pada akhir zaman. Iaitu zaman yang tersangat sedikit perkara-perkara kebaikan. Akan tetapi ia adalah zaman yang tersangat banyak dan tersangat mudah berlakunya kejahatan dan kezaliman. Tiada yang tinggal melainkan Islam yang hanyalah pada nama, al Quran melainkan hanya pada mashafnya. Di kala iman manusia melemah, kekuasaan terpecah-pecah. Musuh melawan dari depan dan belakang, yang sentiasa bekerja keras untuk melawan Islam secara terang mahupun jelas semata-mata untuk menjatuhkan Islam dan umatnya.
Walaupun demikian, mereka ini tetap berpegang teguh dengan agama. Mereka tetap berjalan di atas sunnah baginda s.a.w. walau dalam kepayahan dan keperitan kerana masyarakat dan orang sekeliling yang sangat jauh amalan Islamnya dan memandang agama dengan pandangan yang janggal dan pelik. Suatu zaman yang fitnah yang menyesatkan berleluasa. Pada suatu zaman yang berlakunya fitnah dan syubhat terhadap agama. Pada suatu zaman yang berleluasanya nafsu dan shahwat terhadap dunia. Pada suatu zaman yang sangat terujinya iman.
Akan tetapi… mereka ini termasuk di dalam golongan yang tetap berhadapan kepayahan, kesulitan dan keperitan itu dengan hati dan jiwa yang kental. Tidak takut dengan bencinya manusia. Tidak gentar dengan ancaman dunia. Tidak tertipu dengan janji-janji manis yang bersifat sementara. Mereka inilah yang diumpamakan seperti menggenggam agama umpama menggenggam bara api.
Maka bagaimanakah cara untuk menjadi umat yang kuat untuk menggenggam bara api ini? Umat yang mempunyai jatidiri dan kuat peribadi? Pada saya kekuatan itu terpasak pada dua perkara yang penting dan utama.
a) Mempunyai tasawur dan pandangan yang jelas tentang Islam.
Untuk mendapat tasawur serta pandangan yang jelas ini kita perlulah mengisinya dengan ilmu-ilmu Islam yang betul dan benar-benar menepati al-Quran dan sunnah. Ilmu yang mendasarkan kepada ayat al Quran dan hadis yang diterima. Bukan yang semata-mata berpaksikan pemikiran logik akal. Kita juga perlu kenal apakah itu ajaran-ajaran yang bertentangan dengan Islam agar tidak tergelincir tatkala kita mencari ilmu. Pada saat dan ketika ini, pada pandangan saya, kita sangat perlu mengenali apakah itu ajaran Syiah, apakah ia Liberal dan Islam Liberal. Dua arus pemikiran ini sangat berleluasa di negara kita dan sangat mengancam umat Islam di Malaysia khususnya.
b) Mempunyai keimanan dan keyakinan yang tinggi terhadap agama.
Iman adalah hati dan jantung kepada kehidupan seorang muslim. Iman yang sejahtera akan membuatkan seorang muslim taat kepada Allah dan Rasul melebihi segala-galanya. Yakin kepada janji Allah melangkaui yakinnya kepada janji manusia. Yakin bahawa Allah Allah akan mengurniakan syurgaNya buat yang mentaatinya dan menjanjikan azab nerakaNya buat yang mengengkari. Maka ia akan melakukan suruhan samada suka ataupun tidak. Samada mendapat ganjaran dunia atau pun dicerca. Baginya redha Allah paling utama. Kebahagiaan akhirat adalah cita.
Maka marilah kita menjadi umat Nabi yang sentiasa menghidupkan hati dengan iman dan menyuburkan akal dengan ilmu.
Artikel ini merupakan hasil tulisan Ustazah Suriani Sudi, Timbalan Ketua Wanita ISMA dalam kolum Majalah Iman.
No comments:
Post a Comment