Sunday 29 June 2014

BILA FELIXIA YAP AKAN MEMELUK AGAMA ISLAM YG SUCI? INI JAWAPANNYA


Pilih 5 Ramadan ucap Syahadah


ADA yang gembira, tidak kurang juga yang memperlekehkan saat melihat Felixia Yeap berhijab awal tahun ini. Tidak melayan kata-kata negatif yang dilemparkan, dia tahu yang terbaik buat dirinya.
Bagi Felixia, dia tidak boleh memadamkan sejarah lama apabila wajahnya pernah terpampang sebagai model pakaian renang untuk majalah. Namun dia mempunyai pilihan untuk meninggalkan terus bidang yang pernah menaikkan namanya satu ketika dahulu.
Melihatkan perubahan terkini wanita tersebut, ramai yang beranggapan Felixia melakukan perubahan drastik walaupun dia masih belum memeluk Islam.
Dia selesa dengan berhijab dan berpakaian menutup aurat.
Apa sahaja tanggapan orang terhadap dirinya ditolak ke tepi. Baginya sesiapa sahaja berhak mempersoalkan mengapa dia sanggup menutup aurat dan tuduhan lain termasuk mencari peluang yang lebih baik.
Sementelah sejak mengenakan hijab, nama Felixia semakin mendapat perhatian masyarakat. Ada yang menawarkan peluang berlakon dan pernah muncul dalam drama Nikah Kita Bercinta, Sarafina dan Berikan Aku Jilbab, tidak kurang juga yang mahu menjadikan dia contoh masyarakat.
"Jangan kaitkan soal lain dengan pendirian saya. Saya minat untuk mendalami Islam. Rasanya tak salah untuk saya mendekati Islam dan belajar sedikit demi sedikit tentangnya.
"Tentang pandangan orang itu hak mereka. Bagi saya semua orang ada pandangan tersendiri dan berhak untuk memberikan semangat kepada saya atau sebaliknya," tegas pelakon ini kepada Pancaindera.
Cahaya Ramadan
Debar hatinya cukup kencang mengenangkan hari bahagia yang bakal menjelma. Tiada yang mampu menggambarkan keredaan hati Felixia yang bakal memeluk Islam pada 3 Julai ini.
Sengaja memilih tarikh berkenaan sebagai detik keramat untuk memeluk Islam, Felixia juga menganggap hari itu umpama kelahiran semula dirinya kerana tarikh tersebut juga merupakan hari lahirnya.
Bagi Felixia dalam usia 28 tahun, dia cukup matang untuk memilih Islam sebagai agamanya dan hasrat tersebut telah diketahui umum sejak dia mula mengenakan hijab.
"Yang boleh saya katakan buat masa ini, saya mahu mengucap Syahadah dengan tenang. Biar saya lakukan dahulu perkara tersebut dan barulah saya mendalami Islam.
"Dalam bab mencari ilmu ini sampai mati pun tak habis. Sebab itu saya harap orang tidak mendesak saya dengan pelbagai permintaan. Biarlah perkara tersebut berlaku sedikit demi sedikit," luah Felixia.
Tanpa berselindung wanita yang berasal dari Ipoh, Perak ini mengakui masih banyak perkara yang perlu dipelajari untuk menjadi seorang Muslimah yang baik.
Meskipun masih belum berkesempatan belajar cara bersolat dengan betul tetapi dia sudah menghafal surah al-Fatihah dan beberapa perkara asas lain, selain sudah tiga bulan mengikuti kelas agama.
Tidak menganggap pelajaran barunya itu sebagai sesuatu yang membebankan malah baginya perkara tersebut satu tuah untuk wanita bukan Islam sepertinya yang diberikan hidayah oleh Allah SWT.
"Saya sudah bersedia untuk memeluk Islam pada 5 Ramadan ini. Dalam fasa ini saya hanya mengharapkan semua orang agar mendoakan yang terbaik buat saya.
"Apabila hati sudah tertarik, saya tak boleh tangguh lama-lama. Allah sudah bukakan pintu hati saya untuk memeluk agama Islam," tambahnya lagi.
Pandangan skeptikal
10 tahun bergelumang dalam bidang peragaan dan menjadi model seksi bukan satu perjalanan yang manis untuk dikenang. Tidak juga mahu melupakan perkara tersebut, Felixia menganggap itu merupakan titik tolak perubahan dirinya.
Ini kerana sejak memilih untuk berhijab, timbul satu perasaan yang sukar untuk digambarkan. Dia mula perasan tidak ada lagi pandangan skeptikal masyarakat seperti sebelum menutup aurat.
Baginya pandangan orang luar terhadapnya ketika berpakaian seksi lebih menakutkan jika dibandingkan ketika dia memakai hijab.
"Saya masih ingat ketika ingin mengenakan hijab dan mendalami Islam, hati saya cukup tenang.
"Saat saya belajar tentang Islam sedikit demi sedikit perasaan marah juga sudah berkurangan dan yang paling penting saya banyak bersabar. Ini merupakan sifat berlawanan daripada sebelumnya," jelas wanita ini.
Mengakui agak baran satu masa dahulu, Felixia yakin hidayah untuk mendekati agama Islam membuatkannya menjadi penyabar dan semakin terbuka dalam banyak hal.
Namun perkara yang paling penting ialah sokongan keluarga terhadap dirinya. Menganggap ibu sebagai pendorong paling kuat untuknya berubah, Felixia berbangga kerana hasrat itu tidak pernah ditentang oleh keluarganya.
Baginya kasih sayang ibu terhadap dirinya begitu besar maknanya meskipun dia bakal memeluk Islam tidak lama lagi.
"Pada awal perubahan dulu ibu ada bertanya tentang perkara tersebut. Dia ingat saya hanya main-main atau bergambar suka-suka dengan pakaian Muslimah. Dia tak melarang tetapi terkejut dengan perubahan diri saya.
"Tapi apabila banyak sikap buruk saya buang sedikit demi sedikit, ibu mula menerima dengan hati yang terbuka. Kalau perubahan ini mendatangkan kebaikan kepada saya sudah tentu menggembirakan mereka juga.
"Saya sendiri sudah dewasa dan boleh menentukan yang terbaik buat diri. Yang saya perlukan sekarang ialah doa orang lain untuk saya merealisasikan perkara ini," jelasnya yang akan membawa ibu bersama-sama ketika memeluk Islam nanti.
Selain ibunya, pasti ramai tertanya-tanya apakah teman lelakinya menjadi pendorong kuat untuk Felixia melakukan perubahan ini. Namun Felixia menjelaskan mengenali agama Islam terlebih dahulu sebelum dipertemukan dengan lelaki tersebut.
"Saya sedar perancangan masa depan kami hampir sama dan sehaluan. Dia tetap menjalankan tugasnya dalam membimbing dan memberi galakan kepada saya terutama apabila saya mula rasa tertekan dan mahu mengalah," jelasnya yang enggan mendedahkan siapa yang sedang bertakhta di hati kerana mereka masih lagi di peringkat saling kenal-mengenali.
Nama melalui mimpi
Kesempatan untuk ‘bertemu’ Ramadan tahun ini disifatkan sebagai pertemuan yang paling indah buat dirinya yang bakal bergelar seorang Muslimah tidak lama lagi.
Sudah ada nama yang difikirkan sesuai untuknya. Felixia hanya bersedia untuk mendedahkan perkara tersebut sebaik sahaja dia mengucap dua kalimah Syahadah nanti.
"Nama tersebut saya dapat melalui mimpi. Waktu itu saya masih ingat lagi tulisan itu terhampar di depan saya yang saya tidak ketahui maksudnya.
"Apabila saya bangun saya catatkan perkataan dalam mimpi tersebut dan saya cari maknanya. Saya anggap ini sebagai tanda untuk saya menggunakan nama tersebut apabila sudah memeluk agama Islam nanti," ceritanya sambil memberitahu makna namanya iaitu pemimpin raja yang mempersona.
Berharap Ramadan kali ini memberikan pengalaman manis untuk orang baru sepertinya, selain menumpukan kerjaya dalam bidang peragaan dan lakonan, Felixia juga mahu menjadi penceramah bebas.
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment