Sunday 15 June 2014

TERUMBU LAYANG LAYANG

  Ini Hak Malaysia

‘...Pada tahun sama (1981), apabila saya menjadi Perdana Menteri, langkah pertama yang saya ambil adalah menempatkan orang kita di Layang-Layang serta mula membangunkannya sebagai pangkalan kecil dan pusat peranginan.’ Tuntutan dan penempatan anggota tentera bermakna ‘...maka secara automatik kita juga menuntut hak ke atas kawasan yang luas di sekelilingnya’ ('DOKTOR UMUM Memoir Tun Dr Mahathir' ms 366). Dengan keputusan tertinggi itu, maka dengan secara rasminya bermulalah proses penghijrahan kaum etnik PASKAL ke Swallow Reef/Terumbu Layang Layang/Stesyen Lima/Pulau Layang Layang yang diketuai oleh Tok Ketua Lt Johari TLDM. 

Ini kisah Tok Ketua sebagai kumpulan pertama penduduk 'Fantasy Island' yang saya coretkan di sini.
Apabila kumpulan pertama seramai 11 orang anggota Paskal, termasuk saya, mendarat dan menduduki Terumbu Layang Layang (TLL) secara tetap pada awal Mei 1983 dari KD MUTIARA, tidak terdapat sebarang infrastruktur di sana. Ponco digunakan sebagai khemah untuk tempat tinggal. Semasa air pasang, kawasan kering yang terdapat di TLL berukuran lebih kurang 40 kaki panjang dan 5 ke 10 kaki lebar.  Jadi, khemah-khemah perlu didirikan di atas kawasan kering ini. Sering terjadi apabila cuaca buruk, air laut akan masuk ke dalam khemah semasa anggota sedang tidur dan mebasahi pakaian dan peralatan yang ada di  dalam khemah! Kerana kepenatan, ada juga anggota Paskal yang terus tidur walaupun pakaian mereka telah basah!


Makanan yang dibawa adalah ‘Pack Rations’ (kiri) dan air tawar dibawa dalam ‘jerry can’. Kerana kesulitan bekal-ulang, air tawar hanya digunakan untuk minum dan masak. Untuk mandi dan mencuci, air laut digunakan sepenuhnya! Hujan yang turun merupakan satu nikmat, dimana akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh anggota untuk mandi dan sebagainya. Memancing merupakan hobi terpilih untuk anggota yang tidak bertugas bagi mendapatkan ‘rangsum segar’.

Disebabkan ketiaadan infrastruktur, anggota melakukan tugas pemerhati (Observation Post) di atas batu karang yang berada di sekitar kawasan khemah baik pada siang atau pun malam hari. Semasa air pasang, anggota perlu meharungi air laut untuk merapat ke tempat tugas di atas batu-batu karang tersebut. Ada kalanya mereka terpaksa mengharungi air laut hingga ke paras dada di dalam gelap untuk ke tempat tugas di atas batu! Di siang hari, anggota terdedah kepada panas terik matahari dan pada malam hari mereka terdedah kepada tiupan angin kencang Laut China Selatan tanpa sebarang perlindungan. Pada bulan Monsoon pula, mereka dibasahi hujan yang mencurah-curah tanpa henti baik pada siang atau pun di malam hari. Setelah bertugas di TLL selama dua minggu atau lebih, semua anggota Paskal kelihatan lebih mirip kepada ‘African’ daripada ‘Asian’ kerana terbakar matahari!

Kumpulan Paskal ini hanya dibekalkan dengan senjata ringan seperti, M16 dan GPMG untuk mempertahankan diri dan kawasan sekitarnya. Alat komunikasi yang dibekalkan adalah radio HF TRA 921 dan PRC77 (gambar kanan - hiasan). Disebabkan keterbatasan bateri, radio hanya dihidupkan dua kali sehari iaitu pada jam 8 pagi dan jam 8 malam untuk menghantar ‘sitrep’ (situation report) ke Markas di Labuan.

Pembinaan Modul Pertama
Setelah beberapa lama menduduki TLL secara tetap, kerajaan telah membuat keputusan untuk membina sebuah modul tempat tinggal bagi menempatkan anggota-anggota yang bertugas di sana. Modul ini telah dibina oleh pasukan Jurutera Tentera Darat dan dibantu oleh pihak TLDM dan TUDM. Unit TLDM yang terlibat secara langsung dalam pembinaan modul ini ialah KD SRI BANGGI sementara dari pihak TUDM, Skuadron Nuri yang berpengkalan di Labuan merupakan ‘work horse’ yang terlibat secara aktif di dalam projek ini. Kumpulan Paskal terus berperanan memberi perlindungan keselamatan semasa kerja-kerja pembinaan giat dijalankan.

Disebabkan keadaan sekitar terumbu yang merbahaya untuk pendaratan bot kecil, maka helikopter Nuri digunakan sepenuhnya untuk memindahkan bahan binaan dari KD SRI BANGGI ke TLL. Operasi ‘Under-Slung’ dijalankan sepanjang hari bagi membawa simen, batu bata, besi, tong ‘drum’ yang berisi air tawar, pembancuh simen, kayu kayan dan sebagainya ke TLL.  Kemampuan juruterbang dan awak-awak kapal melakukan operasi ini tanpa sebarang kemalangan adalah sesuatu yang perlu diiktiraf dan disanjungi!  Helikopter Nuri bukan sahaja ‘hover’ di atas air, malah ada kalanya mendarat di dalam air!  Semoga mereka yang terlibat dalam operasi ini akan diiktiraf secara rasmi oleh ATM dan kerajaan Malaysia di masa mendatang. “It’s still not too late to recognize and honour these pilots and the air crews!”

Suatu pengalaman unik yang saya alami semasa kerja-kerja pembinaan modul ini berjalan adalah jam kerja yang diamalkan oleh pihak Jurutera Tentera Darat.  Berbeza dengan jam kerja pejabat yang biasa kita amalkan, iaitu dari jam 8 pagi hingga 5 petang, jam kerja di TLL bergantung sepenuhnya kepada pasang surutnya air laut! Ini bererti, kerja pembinaan modul akan bermula sebaik saja air laut mula surut dan berakhir apabila air laut mula pasang penuh. Pernah kerja-kerja pembinaan bermula pada jam 2 pagi dan berakhir pada 10 pagi setelah air pasang penuh! Ini bererti anggota Jurutera akan tidur waktu air pasang dan berjaga waktu air surut!


Berkerja di waktu malam ketika air surut

Walaupun modul pertama yang dibina di TLL boleh dianggap ‘basic’ ataupun sederhana, namun pembinaannya telah meningkatkan kualiti hidup anggota Paskal yang bertugas di TLL dengan amat ketara sekali. Dengan adanya modul ini, anggota-anggota sudah tidak lagi terdedah kepada cuaca panas dan cuaca buruk yang sering melanda kawasan ini. Solar panel yang dipasang telah membekalkan cahaya pada malam untuk semua penghuni di TLL.  ‘Water Tower’ yang dibina bersebelahan modul, juga dapat digunakan sebagai ‘Watch Tower’ oleh anggota Paskal yang bertugas. Ini membolehkan anggota bertugas di ‘Watch Tower’ dapat membuat pengawasan kawasan sekitar dengan lebih berkesan lagi.

Modul ini juga dibekalkan dengan sebuah janakuasa 25 KW. Fungsi utama janakuasa ini adalah untuk mengecas bateri-bateri radio TRA 921 dan PRC77 yang dibekalkan. Namun, atas ‘inisiatif’ beberapa anggota Paskal, janakuasa ini juga digunakan untuk penayangan video! Selain janakuasa, modul juga dibekalkan sebuah “kerosene fired refrigerator” yang mebolehkan pembuatan ais dan penyimpanan makanan segar yang dihantar dari Labuan. Malangnya, peti ais ini hanya bertahan buat beberapa hari sahaja sebelum jelaga (soot) perlu dibersihkan sebelum ia boleh berfungsi semula.
Menjaga kedaulatan negara di perbatasan paling hadapan

Kesimpulan
Pengalaman di TLL adalah sesuatu yang tak mungkin dapat saya lupakan sehingga ke akhir hayat saya. Pengorbanan yang telah dibuat oleh mereka yang telah menduduki dan membangunkan TLL perlu dibukukan agar generasi akan datang tidak mensia-siakan pengorbanan mereka. Kepada semua anggota TLDM, TUDM dan TDM yang merupakan perintis di TLL, Syabas saya ucapkan kerana “You have claimed and occupied that precious piece of real estate in the South China Sea before others could lay their claims!”

Kept Johari TLDM (B)....Terima kasih.

SUMBER : JOTTING OF XNURIPILOT

No comments:

Post a Comment